fb fb fb fb fb

Putri Nordanisya Hafirra juara Bintang Kecil Negeri Perak

Foto RTM

IPOH, 24 Mei- Putri Nordanisya Hafirra Mohd All-Hafiz, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Gudang, Batu Kurau, muncul juara pertandingan Bintang Kecil peringkat Negeri Perak yang diadakan di Studio MPS RTM Perak, di sini.

Beliau berjaya menambat hati tiga juri dengan lagu Setelah Aku Kau Miliki nyanyian asal Shima, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta plak kemenangan.

Kemenangan ini melayakkan Putri Nordanisya Hafirra mewakili negeri Perak ke peringkat zon Semenanjung yang dijadual berlangsung pada September nanti.

Ditemui selepas pertandingan, Putri meluahkan rasa terkejut dan bersyukur atas kejayaan tersebut.

"Saya tak percaya dan terkejut, sebab kali pertama sertai pertandingan ini. Ibu yang ajak, mana tahu ada rezeki," katanya.

Tempat kedua dimenangi Amanda Putri Nornawawi, manakala tempat ketiga milik Siti Nor Amnialisya Mat Noor.

Sementara itu, ibu Putri, Noradizah Masir, turut berkongsi keterujaannya atas kemenangan anak bongsunya itu.

"Tak jangka langsung dan sangat terkejut. Memang ada ikuti Bintang Kecil tahun ini dan atas sebab itu, saya bawa dia masuk pertandingan," katanya.

Bintang Kecil diadili tiga juri profesional iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Perak, Mohd Zam Ali; Ketua Bahagian Rancangan RTM Perak, Any Rozita Abdul Mutalib; dan Pensyarah Kanan IPG Ipoh, Ahmad Jalalulail Abd Manab.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello