
TEHRAN, 19 Jun – Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei menegaskan bahawa beliau telah meluluskan perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Asia Barat walaupun mempunyai “pandangan yang berbeza” mengenainya, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
- Mesej pertama beliau sejak tidak muncul di khalayak ramai selepas mengambil alih jawatan susulan kematian bapanya dalam serangan AS-Israel.
- Beliau mendakwa Trump menggunakan pelbagai cara kerana terdesak untuk mendapatkan persetujuan terhadap perjanjian itu.
- Mojtaba terima jaminan daripada Presiden Pezeshkian; tidak akan menerima jika pihak Amerika mengemukakan tuntutan melampau.
“Pada dasarnya, saya mempunyai pandangan yang berbeza (mengenai memorandum persefahaman itu), tetapi saya memberikan kebenaran berikutan komitmen yang diberikan oleh presiden (Iran) yang dihormati, selaku pengerusi Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, bagi pihak dirinya dan anggota lain untuk mempertahankan hak rakyat Iran serta Barisan Penentangan,” kata Mojtaba dalam satu mesej yang dibacakan menerusi televisyen negara.
Mojtaba tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak mengambil alih jawatan pada Mac lalu susulan kematian bapanya yang juga pendahulunya, Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan perang serantau.
Mesej tersebut merupakan reaksi pertama beliau terhadap perjanjian Iran-Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik yang ditandatangani oleh Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Mojtaba menegaskan Trump telah “menggunakan pelbagai cara” untuk mendapatkan persetujuan terhadap perjanjian itu “kerana terdesak”.
Dalam mesejnya, Mojtaba turut menjelaskan bahawa beliau menerima jaminan daripada Pezeshkian berhubung perjanjian tersebut dan menegaskan bahawa ia tidak akan diterima sekiranya “pihak Amerika mahu mengemukakan tuntutan yang melampau”.
“Jelas bahawa rundingan secara bersemuka yang akan diadakan pada masa hadapan tidak bermaksud menerima pandangan pihak musuh,” tambah beliau.