
LONDON, 19 Jun – Liverpool memenangi persaingan untuk mendapatkan penyerang Sepanyol, Victor Munoz daripada Osasuna dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai £34.5 juta (AS$45.5 juta).
- Munoz menjalani pemeriksaan perubatan di Tennessee dan menandatangani kontrak enam tahun bersama Liverpool, akan menyertai selepas Piala Dunia.
- Pemain 22 tahun itu serba boleh di kedua sayap dan dijangka mengisi kekosongan besar selepas kepergian Mohamed Salah.
- Liverpool mengaktifkan klausa pelepasan, menjadikan Munoz pembelian pertama pengurus baharu Andoni Iraola.
Munoz, yang kini sedang beraksi di Piala Dunia 202 telah menjalani pemeriksaan perubatan di kem latihan Sepanyol di Tennessee dan bersetuju menandatangani kontrak selama enam tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi pembelian pertama pengurus baharu The Reds, Andoni Iraola, sejak beliau menggantikan Arne Slot yang dipecat.
“Liverpool FC telah mencapai persetuan untuk menandatangani Victor Munoz dari Osasuna, tertakluk pada kelulusan permit kerja dan pelepasan antarabangsa,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Newcastle United F.C. sebelum ini berada dalam rundingan lanjut untuk mendapatkan Munoz apabila melepaskan Anthony Gordon kepada Barcelona, manakala Manchester United dan Bayer Leverkusen turut dikaitkan dengan pemain itu.
Bagaimanapun, Liverpool berjaya meyakinkan Munoz untuk berpindah ke Anfield selepas mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontraknya.
Munoz menjaringkan tujuh gol dan mencipta lima bantuan jaringan dalam 36 penampilan musim lalu.
Beliau merupakan produk akademi Barcelona, La Masia, sebelum menyertai Real Madrid yang menyaksikan beliau hanya membuat dua penampilan sebelum berpindah ke Osasuna pada Julai 2025.
Mampu beraksi di kedua-dua bahagian sayap, Munoz dijangka membantu Iraola mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan oleh Mohamed Salah, yang meninggalkan Liverpool pada penghujung musim lalu.
Munoz telah membuat dua penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol sejak melakukan penampilan sulung pada Mac lalu dan akan menyertai rakan sepasukan baharunya selepas tamat Piala Dunia.
Liverpool juga dilaporkan berminat mendapatkan penyerang remaja Yan Diomande, yang bermain untuk RB Leipzig dan kini bersama skuad Ivory Coast di Piala Dunia.
Sementara itu, pertahanan Perancis Jeremy Jacquet telah lebih awal bersetuju menyertai Liverpool dari Stade Rennais FC pada Julai ini dalam perjanjian yang dirundingkan awal tahun. – AFP