KUALA LUMPUR, 14 Januari - Lebih dua dekad, saluran radio Minnalfm mendekati pendengar melalui Pesta Ponggal yang diraikan oleh masyarakat India sebagai tanda kesyukuran kepada alam semula jadi atas hasil tuaian.
Perayaan kali ini menyaksikan Minnalfm dengan tema "Jom Santhippom" meraih bersama hampir 80 orang pendengar setianya di Kuil Sri Karpaga Vinayagar, Brickfields di sini hari ini.
Seramai sembilan keluarga bersama Minnalfm meraikan hari pertama bulan Thai dalam kalender Hindu dengan tradisi memanaskan susu dalam belanga tanah liat, simbolik kekayaan dan kebahagiaan melimpah ruah.
Pengurus Minnalfm, S. Rohiny, menyifatkan perayaan Pongal sebagai platform terbaik untuk mendekati rakyat.
"Sambutan Pongal adalah salah satu aktiviti kami untuk merapatkan hubungan dengan pendengar, terutama di sekitar Brickfields," katanya.
Pengunjung yang hadir ke kuil itu turut berkongsi pandangan mereka mengenai Pesta Pongal yang akan diraikan pada hari ini.
"Pongal melambangkan kejayaan kerja keras dan doa dari tahun sebelumnya, serta mengharapkan tahun 2025 lebih baik," kata K. Vinoth.
Bagi C. Mogan, suasana perayaan yang dihiasi dengan pakaian baharu dan nyanyian tradisional seperti ‘Pongaloo Pongal’ dinyanyikan dengan penuh semangat, mencetuskan suasana yang meriah.
Perayaan Ponggal adalah festival tradisional yang diraikan oleh masyarakat Tamil, khususnya penganut agama Hindu, sebagai tanda penghargaan kepada alam semula jadi atas hasil tuaian yang melimpah ruah.