
KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Perkhidmatan tren Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa mulai jam 1.27 tengah hari tadi selepas kerja pembaikan sementara bagi memulihkan bekalan kuasa susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine selesai.
- Tren yang terkandas dapat bergerak semula selepas pemulihan bekalan kuasa.
- Perkhidmatan tren alternatif yang disediakan sepanjang tempoh gangguan ditamatkan.
- Kekerapan perkhidmatan diselaraskan secara berperingkat untuk memastikan operasi kembali stabil.
- Bas perantara percuma diteruskan sehingga jam 3 petang dan akan dinilai semula mengikut keperluan operasi.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, pemulihan bekalan kuasa membolehkan tren yang sebelum ini terkandas di Stesen Taman Equine bergerak semula.
“Perkhidmatan tren alternatif yang disediakan sepanjang tempoh gangguan turut ditamatkan.
Bagaimanapun, kekerapan perkhidmatan tren sedang diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan operasi kembali stabil,” menurut kenyataan itu.
Perkhidmatan bas perantara percuma pula diteruskan sehingga jam 3 petang dan akan dinilai semula berdasarkan keperluan operasi ketika itu.
Rapid KL memaklumkan kerja pembaikan kabel bagi melengkapkan pemulihan infrastruktur akan diteruskan malam ini ketika waktu kejuruteraan.
Dalam masa sama, Rapid KL bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian kecurian kabel berkenaan.
Rapid KL memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami penumpang sepanjang tempoh gangguan serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua.