fb fb fb fb fb

Konsert solo terakhir Awie, 'Journey' pada 3 Ogos depan

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 56 tahun

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Konsert solo Datuk Awie, 'Journey' pada 3 Ogos depan bakal menyajikan lagu-lagu popular yang mengimbau kenangan daripada album-album kompilasi beliau yang memegang rekod Album Solo Artis Lelaki Paling Laris di Malaysia.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 56 berkata, 'Journey' merupakan konsert solo terakhirnya yang akan "menceritakan" perjalanan beliau sebagai anak seni menerusi susunan-susunan lagu.

"Ada fasa 'up and down' dalam hidup... ada masa di atas, ada masa jatuh, sedih, berpisah. Dalam masa sama, saya meneruskan nyanyian, menghiburkan peminat (walaupun) rumah tangga rosak tetapi masih menghiburkan peminat... tetapi hati dan perasaan kita siapa yang hiburkan? Jadi ini yang saya nak ceritakan di atas pentas nanti, dalam bentuk nyanyian, susunan-susunan lagu," katanya kepada pemberita di sini.

Konsert yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara itu akan meraikan perjalanan 30 tahun Awie dalam dunia seni sejak 1985 sebagai artis solo.

Istimewanya konsert itu akan menampilkan barisan pemuzik handalan seperti Rozario Rasul yang akan bertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik yang juga bertindak sebagai pemain keyboard manakala pemain gitar pula ialah Ritz MetalAsia (Guitar 1), Addy Cradle (Guitar 2), Fly Halizor (Bass), Ujang Exist (Drum), dan Pa'ang Zaman (Percussion).

Awie akan mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu-lagu popular beliau terutama dari album solo dan album Wings, termasuk dari album Awie (1994), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000), dan Santai (2005).

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari laman web rasmi www.pixeltix.com.my. Tiket dijual dalam beberapa kategori bermula dengan harga RM230 hingga RM1,564.

SITI AISHAH MD ISA