KUALA LUMPUR, 6 November- Konsert KL Big Gig 2023 disambut meriah oleh warga kota sekali gus sebagai tanda penghargaan buat seluruh pendengar atas sokongan berterusan sekali gus membuktikan Radio KLfm itu amat diminati ramai hingga kini.
Konsert anjuran KLfm dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (JKKPS DBKL) berlangsung meriah malam tadi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebagai simbolik ulang tahun ke-50, persembahan bertenaga para artis diiringi gabungan 50 pemuzik Orkestra RTM dan Orkestra DBKL diketuai Pengarah Muzik, Luqman Aziz (RTM) dan Mohd Isa Ismail (DBKL).
Ketua Unit JKKPS DBKL, Mohamad Fauzi Ahmad berkata konsert itu juga merupakan acara kemuncak bagi Program KL Urban Youth 2023 yang menyasarkan golongan belia untuk mengekspresikan minat dan bakat mereka.
"Kita berkolaborasi dengan KLfm menganjurkan KL Big Gig sempena dengan ulang tahun ke-50 KLfm yang disambut harini. Kita boleh tengok pelbagai artis menjuarai carta di KLfm, Dayang Nurfaizah, Black.
Ada satu segmen khas dimana ada Datuk DJ Dave bersama artis budaya DBKL membuat persembahan sempena menyambut perayaan Deepavali pada minggu depan," kata Mohamad Fauzi kepada pemberita malam tadi di Dataran Merdeka.
Konsert selama dua jam itu menampilkan persembahan hebat barisan artis terkenal tanah air antaranya Datuk Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah, Datuk DJ Dave.
Turut berlangsung, penyampaian momento sempena Jubli Emas KLfm daripada Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman kepada Pengurus KLfm Norliza Nordin
Turut disaksikan, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin.