
BERLIN, 23 Julai – Jurgen Klopp dijangka diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Jerman pada Jumaat.
- Klopp, 59, dijangka menandatangani kontrak bersama Jerman sehingga 2030 selepas rundingan dengan DFB.
- Red Bull setuju melepaskan Klopp tanpa pampasan dan menyumbang satu juta euro kepada Wings for Life.
- Prestasi hambar Jerman: tersingkir awal 2018, 2022, dan tewas kepada Paraguay 2026 menerusi penentuan penalti.
Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) dijadual mengadakan sidang media di ibu pejabatnya di Frankfurt, namun agenda tidak dinyatakan.
Klopp yang cemerlang bersama Borussia Dortmund dan Liverpool, dilaporkan telah mengadakan rundingan dengan DFB bagi mengangkat semula kegemilangan skuad Die Mannschaft sebagai kuasa besar bola sepak dunia.
Bagaimanapun, badan induk itu masih perlu mendapatkan kelulusan rasmi daripada ahli lembaga sebelum mengesahkan pelantikan Klopp.
Klopp, 59, dijangka menandatangani kontrak bersama Jerman sehingga 2030.
Sejak 2025, beliau berkhidmat sebagai Ketua Bola Sepak Global syarikat Red Bull dengan menyelia operasi beberapa kelab bawah naungan syarikat itu, termasuk RB Leipzig, Red Bull Salzburg dan New York Red Bulls.
Menurut laporan media Jerman, Red Bull bersetuju melepaskan Klopp daripada kontraknya tanpa sebarang bayaran pampasan.
Sebaliknya, menerima sumbangan sebanyak satu juta euro (AS$1.1 juta) kepada yayasan kebajikan Wings for Life, yang menyokong penyelidikan berkaitan kecederaan saraf tunjang.
Bekas ketua jurulatih, Julian Nagelsmann dipecat selepas Jerman tersingkir daripada Piala Dunia 2026 apabila tewas mengejut kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 32 terbaik.
Keputusan itu menyaksikan prestasi hambar skuad Jerman di pentas Piala Dunia dalam tiga edisi berturut-turut sejak menjulang kejuaraan buat kali keempat pada 2014.
Jerman turut tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi 2018 dan 2022.
Selain, hanya menang satu perlawanan peringkat kalah mati dalam lima kejohanan utama terakhir iaitu ketika mara ke suku akhir Euro 2024 selaku tuan rumah. – AFP