Pearly-Thinaah wakil tunggal Malaysia ke suku akhir Terbuka China

Pearly-Thinaah berdepan cabaran getir menentang pasangan nombor tiga dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada suku akhir esok – Foto RTM

CHANGZHOU, 23 Julai – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah muncul satu-satunya wakil negara yang berjaya mara ke suku akhir Terbuka China 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly-Thinaah menewaskan Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-19, 21-12 dalam 30 minit pada pusingan kedua.
  • Pasangan Ukraine beri tentangan sengit set pertama, tetapi pengalaman Pearly-Thinaah menutupnya 21-19.
  • Mereka bakal berdepan cabaran lebih sukar menentang gandingan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto esok.

Pasangan ranking kelima dunia itu hanya memerlukan 30 minit untuk menewaskan gandingan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-12 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Pearly-Thinaah menerima tentangan sengit pada set pertama apabila pasangan Ukraine itu berjaya mengheret permainan hingga ke mata-mata akhir.

Bagaimanapun, pengalaman membezakan kedua-dua pasangan apabila wakil negara kekal tenang untuk menutup set berkenaan dengan kemenangan 21-19.

Momentum cemerlang itu diteruskan pada set kedua apabila Pearly-Thinaah tampil lebih dominan dengan menguasai rentak permainan sebelum mengesahkan kemenangan 21-12 sekali gus menempah slot ke kelompok lapan terbaik.

Cabaran lebih sukar bagaimanapun menanti juara Masters Indonesia itu apabila dijadualkan menentang pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Kejayaan Pearly-Thinaah turut mengubat kekecewaan kem badminton negara selepas enam lagi wakil Malaysia yang beraksi pada pusingan kedua gagal meneruskan cabaran dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.