Pegawai Olimpik Croatia ditahan bantu siasatan skandal rasuah

Pengarah program Jawatankuasa Olimpik Croatia, Damir Segota ditahan bagi membantu siasatan kes skandal rasuah yang melanda persekutuan ski negara itu – Foto AFP

ZAGREB, 23 Julai – Seorang anggota Jawatankuasa Olimpik Croatia ditahan pada Khamis selepas disyaki terbabit dengan rasuah dalam perkembangan terbaharu skandal penyelewengan yang melanda persekutuan ski negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas pengarah ski Vedran Pavlek disyaki mengetuai skim menyeleweng hampir 30 juta euro; pihak berkuasa cuba mengeksradisinya dari Kazakhstan.
  • Operasi penggeledahan dan penahanan dijalankan; pejabat Segota dan Setiausaha Agung Sinisa Krajac turut digeledah.
  • Siasatan sejak Mac melibatkan enam individu; skandal memaksa Presiden Jawatankuasa Olimpik Zlatko Matesa meletak jawatan.

Penahanan itu dibuat ketika pihak penyiasat berusaha mengekstradisi bekas pengarah ski alpine, Vedran Pavlek yang kini berada di Kazakhstan, susulan dakwaan bahawa beliau mengetuai satu skim yang menyeleweng hampir 30 juta euro (AS$35 juta) daripada dana Persekutuan Ski Kebangsaan Croatia.

Pihak polis menahan pengarah program Jawatankuasa Olimpik, Damir Segota dan isterinya, menurut laporan agensi berita rasmi negara, HINA.

Laporan itu menyebut, pejabat Segota turut digeledah, bersama pejabat Setiausaha Agung jawatankuasa berkenaan, Sinisa Krajac.

Pejabat Pendakwa Raya Pencegahan Rasuah dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa operasi penggeledahan dan penahanan telah dijalankan, namun tidak mendedahkan identiti individu yang terbabit.

Menurut kenyataan itu, pihak pendakwa raya akan menentukan tindakan selanjutnya selepas proses soal siasat selesai, tanpa memberikan butiran lanjut.

Menurut media tempatan, Segota disyaki menerima rasuah sebagai balasan meluluskan penyaluran dana Olimpik kepada Persekutuan Ski Kebangsaan secara tidak sah.

Pada Mac lalu, pihak pendakwa raya melancarkan siasatan terhadap enam individu termasuk Pavlek, yang terus berada di Kazakhstan sejak itu.

Skandal berkenaan turut membawa kepada peletakan jawatan Presiden Jawatankuasa Olimpik Croatia, Zlatko Matesa, yang telah lama memegang jawatan tersebut. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.