Sukan Komanwel: Izzat Shameer raih kemenangan dalam acara boling padang

Izzat Shameer ketika menentang Cecil Alexander dalam aksi Kumpulan D/Foto BERNAMA 

GLASGOW, 24 – Pemain boling padang negara Izzat Shameer Dzulkeple mengakui terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki meskipun meraih kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan D singles lelaki Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scottish Event Campus (SEC) Centre pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Izzat gementar pada pembukaan lawan Cecil Alexander, pengalaman bantu dia menyesuaikan diri dan tingkatkan keyakinan untuk perlawanan seterusnya.
  • Perlu perbaiki strategi balingan: kurangkan bola short, lebihkan bola ke belakang dan fokus pada teknik draw.
  • Tekankan konsistensi untuk baki saingan kumpulan dan akan menentang Shaun Parnis dari Malta esok.

Izzat Shameer berkata beliau sedikit gementar pada aksi pembukaan menentang Cecil Alexander dari Kepulauan Falkland, namun pengalaman itu membantunya menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan dan meningkatkan keyakinan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Alhamdulillah, ia satu permulaan yang agak baik. Walaupun ada sedikit rasa gementar, secara keseluruhan masih banyak perlu diperbaiki.

“Dalam kumpulan saya masih ada tiga lawan yang agak sukar iaitu India, Malta dan Kanada. Hari ini memberi peluang kepada saya merasai suasana pertandingan, jadi mungkin esok saya akan tampil lebih yakin,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini.

Pada aksi berkenaan, Izzat Shameer bermula langkah kanan untuk mengatasi Alexander 2-0 (10-3, 7-4).

Mengulas aspek yang perlu diperbaiki, atlet berusia 44 tahun yang membuat penampilan kedua di temasya Sukan Komanwel berkata beliau perlu memperbaiki strategi khususnya balingan.

“Untuk aksi esok, saya rasa mungkin bola yang short itu perlu dibaiki dengan kurangkan bola short. Sebab rugilah bola short itu tak membantu untuk saya mendapatkan mata. Jadi esok mungkin perlu lebihkan sedikit bola ke belakang dan lebih fokus pada draw,” katanya.

Beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahannya, namun menegaskan tahap konsistensi perlu ditingkatkan bagi mengharungi baki saingan peringkat kumpulan.

Izzat Shameer dijadual menentang wakil Malta Shaun Parnis dalam aksi kedua pada Jumaat.

Turut beraksi esok ialah gandingan wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman yang akan turun menentang wakil Falkland Islands dan Jersey dalam saingan Kumpulan D bagi acara pairs. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.