
GLASGOW, 24 Julai – Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuka tirainya secara rasmi pada Khamis di The Hydro di sini, menyaksikan sambutan penuh warna-warni yang mengetengahkan budaya, kreativiti dan semangat rakyat Scotland, yang mengalu-alukan lebih 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah Komanwel.
- Raja Charles III dan Permaisuri Camilla muncul dari TARDIS bersama Sir Chris Hoy; Raja merasmikan temasya dengan mesej dalam King Baton.
- Majlis pembukaan julung kali dianjurkan dalam arena, mengangkat atlet sebagai elemen utama sambutan.
- Persembahan meraikan warisan perindustrian, budaya, muzik, penceritaan, artis terkemuka dan penglibatan kira-kira 600 sukarelawan.
- Kontinjen Malaysia menghantar 59 atlet termasuk 22 atlet para; perarakan dipimpin Datuk Abdul Latif Romly; sasaran lima emas, dua perak, empat gangsa.
Menerusi segmen pembukaan berbentuk teater, Raja Britain Raja Charles III dan Raja Permaisuri Camilla muncul dari sebuah TARDIS, iaitu kapal angkasa “pengembara masa”, yang dipaparkan dalam siri fiksyen sains “Doctor Who”, bersama atlet berbasikal yang juga juara Olimpik enam kali, Sir Chris Hoy.
Raja Charles turut berkenan merasmikan temasya sukan itu selepas melafazkan mesej yang terkandung dalam King Baton di hadapan atlet, pegawai dan penonton.
Dianjurkan buat julung-julung kali dalam sebuah arena, yang juga pertama kali dalam sejarah Sukan Komanwel, majlis pembukaan itu mencerminkan visi Glasgow 2026 yang lebih padat, selain mengangkat atlet sebagai elemen utama dalam sambutan berkenaan.
Acara yang membawa semangat setiap negara untuk dikongsi bersama itu turut meraikan hubungan yang terjalin menerusi sukan sambil mengambil inspirasi daripada warisan, kreativiti dan semangat Glasgow.
Persembahan itu turut menampilkan sejarah perindustrian, budaya dan semangat komuniti di bandar berkenaan melalui muzik, penceritaan serta persembahan seni yang memukau.
Kira-kira 600 sukarelawan mengambil bahagian bersama beberapa artis terkemuka Scotland termasuk KT Tunstall, Tom Walker, Nina Nesbitt, Callum Beattie, Saint Phnx serta duo folk-elektronik Valtos.
Larian King Baton turut berakhir apabila kesemua 74 baton dihimpunkan di Glasgow selepas melalui perjalanan larian paling panjang dalam sejarah Sukan Komanwel.
Segmen protokol bermula dengan perarakan membawa masuk bendera Sukan Komanwel yang kemudian dikibarkan sebelum ikrar Glasgow 2026 dilafazkan.
Pemain boling padang Scotland Paul Foster dan pemain bola keranjang kerusi roda 3×3 Robyn Love adalah antara individu yang melafazkan ikrar, bersama wakil sukan olahraga dan sukarelawan Sukan Komanwel.
Perarakan masuk kontinjen Malaysia ke dalam arena yang mampu memuatkan kira-kira 14,000 penonton itu diketuai oleh jaguh jauh lompat jauh para yang juga juara paralimpik sebanyak dua kali, Datuk Abdul Latif Romly yang membawa Jalur Gemilang, manakala pemain boling padang nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji, bertindak sebagai pembawa King Baton Malaysia
Kira-kira 40 atlet Malaysia mengambil bahagian dalam perbarisan itu dengan mengenakan baju batik berinspirasikan Jalur Gemilang, yang menampilkan motif bunga raya.
Malaysia menghantar 59 atlet, termasuk 22 atlet para yang akan beraksi dalam lapan acara sukan pada temasya itu, selain 45 pegawai.
Kontinjen negara menyasarkan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa, dengan sandaran pingat melalui angkat berat, berbasikal trek, boling padang, judo, powerlifting para dan olahraga para.
Glasgow menjadi tuan rumah Sukan Komanwel buat kali kedua selepas 2014, dengan edisi kali ini menampilkan 10 jenis sukan dan enam sukan para bersepadu di empat lokasi pertandingan.
Sepuluh jenis sukan yang dipertandingkan ialah bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, olahraga, boling padang, tinju, judo, bola jaring, renang, berbasikal trek dan angkat berat, selain enam sukan para bersepadu ialah bola keranjang kerusi roda 3×3, olahraga para, boling padang para, renang para, berbasikal trek para dan powerlifting para.
Pertandingan yang sudah bermula lebih awal ialah acara boling padang dan boling padang para, yang menyaksikan pemain boling padang kebangsaan Izzat Shameer Dzulkeple menjadi atlet pertama negara beraksi dalam acara perseorangan lelaki.
Temasya itu akan berlangsung hingga 2 Ogos. – BERNAMA