
SEREMBAN, 23 Julai – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memberi penekanan kepada tiga keutamaan utama dalam manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, merangkumi peluang pekerjaan bergaji tinggi, perumahan mampu milik dan kebajikan rakyat.
- Mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak Negeri Sembilan, mengurangkan keperluan berhijrah untuk cari pekerjaan berkualiti.
- Menyediakan 20,000 rumah mampu milik bagi membantu keluarga muda memiliki kediaman sendiri dan kestabilan sosial.
- Memperkasa Skim Sejahtera Rakyat untuk kebajikan sepanjang hayat termasuk kelahiran, pendidikan, pekerjaan, perkahwinan dan usia emas.
- Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos pengundian PRN Negeri Sembilan; undi awal dijadualkan 28 Julai.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, manifesto berkenaan merupakan kesinambungan pencapaian pentadbiran negeri sepanjang lima tahun lalu, selain menggariskan hala tuju pembangunan Negeri Sembilan.
“Pertama, kita berjanji untuk mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi. Pakatan Harapan mahu memastikan lebih ramai anak Negeri Sembilan mendapat pekerjaan berkualiti tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
“Setiap pelaburan yang berjaya dibawa masuk perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama yang menghimpunkan wakil tiga parti komponen PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Dua lagi keutamaan yang diketengahkan termasuk penyediaan 20,000 rumah mampu milik, khususnya bagi membantu keluarga muda memiliki kediaman sendiri, serta pemerkasaan Skim Sejahtera Rakyat (SSR).
Skim berkenaan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat merentasi pelbagai peringkat kehidupan termasuk kelahiran, pendidikan, alam pekerjaan, perkahwinan hingga usia emas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan manakala undi awal pada 28 Julai.