PRN N. Sembilan: Penjawat awam seru pengundi tunaikan tanggungjawab

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 23 Julai – Penjawat awam di Negeri Sembilan berharap rakyat menggunakan hak mengundi secara bijak dan bertanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan baharu diharapkan meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan perkhidmatan awam berkesan.
  • Penjawat awam wajib mengekalkan perkhidmatan terbaik tanpa mengira perubahan pentadbiran.
  • Isu utama yang perlu diberi perhatian termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan kemudahan awam.
  • Pengundi muda digalakkan mendapatkan maklumat tepat, menilai calon dengan teliti dan menunaikan tanggungjawab mereka.

Mereka turut berharap kerajaan yang menerima mandat rakyat kelak dapat meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam berjalan lancar dan berkesan.

Bagi Kurator Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Noorul Farah Ashikin Sakim, setiap warganegara mempunyai tanggungjawab menentukan wakil yang mampu membawa suara dan aspirasi rakyat.

“Bagi saya, mengundi merupakan tanggungjawab setiap warganegara. Peluang yang diberikan perlu dimanfaatkan untuk memilih wakil yang mampu membawa suara rakyat. Saya berharap semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dan membuat pilihan secara bijak,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Albasyaari Abdul Latif berkata, kerajaan yang dibentuk kelak perlu terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selain meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Saya berharap pentadbiran kerajaan selepas ini dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, meneruskan pembangunan negeri serta memberi perhatian terhadap isu yang dekat dengan masyarakat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan kemudahan awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembantu Tadbir Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Mohd Izwan Mohd Yusoff berkata, tanggungjawab penjawat awam untuk memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kekal diteruskan tanpa mengira perubahan pentadbiran.

“Sebagai penjawat awam, tanggungjawab kami tetap sama iaitu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Saya berharap selepas pilihan raya, segala dasar dan program yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar serta berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Setiausaha Pejabat INTAN, Nur Syazwani Samsudin berkata, pengundi muda memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negeri pada masa hadapan.

“Sebagai penjawat awam dan pengundi muda, kita mempunyai peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negeri. Saya berharap golongan ini mendapatkan maklumat yang tepat, menilai calon dengan baik serta menggunakan hak mengundi secara bertanggungjawab,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan manakala undi awal pada 28 Julai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.