
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Seorang lelaki ditahan hari ini kerana disyaki terlibat dalam cubaan samun van keselamatan dan melarikan senjata api di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, di sini, pada 20 Julai lalu.
- Suspek merampas sebatang pump gun Mossberg dan sebutir peluru 12 bore milik pengawal keselamatan, kemudian melarikan diri dengan motosikal.
- Turut dirampas pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite beserta 48 butir peluru kosong.
- Operasi khas Bahagian D9 Bukit Aman dilancarkan untuk mengenal pasti dan mengesan suspek yang terlibat.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 392, 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971, dengan hukuman berat termasuk penjara seumur hidup.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk M. Kumar S.Muthuvelu dalam kenyataan memaklumkan, suspek lelaki warga tempatan berumur 20-an ditahan pada pukul 11.00 pagi di kawasan Shah Alam.
“Dalam kejadian pada 20 Julai 2026, satu laras senjata api jenis pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru (12 bore) milik pengawal keselamatan turut dirampas oleh suspek sebelum melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian itu satu operasi khas telah dilancarkan Bahagian (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman untuk mengenal pasti dan mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Turut dirampas, selaras pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru (12 bore) dan sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite bersama (48) butir peluru ‘blank’,” menurut kenyataan itu.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Kes disiasat bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Suspek turut disiasat bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali.