10 saksi dirakam keterangan bantu siasatan kerugian pelaburan KWAP

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman.

PUTRAJAYA, 23 Julai– Seramai 10 saksi telah dirakam keterangan berhubung kerugian pelaburan kira-kira RM200 juta membabitkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur, eFishery.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan kini memasuki peringkat penelitian keterangan dan dokumen, termasuk kertas cadangan, laporan lawatan, due diligence, minit mesyuarat dan rekod kewangan.
  • Siasatan meliputi unsur rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta aspek tatakelola, prosedur kewangan dan perundangan.
  • SPRM akan memohon bantuan perundangan antarabangsa melalui MACMA dan menjangka memanggil lebih ramai saksi serta menganalisis aliran kewangan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, siasatan kini memasuki peringkat penelitian keterangan dan dokumen.

“Setakat 22 Julai 2026, seramai 10 orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF) yang terlibat di dalam proses membuat keputusan terhadap pelaburan tersebut.

Beberapa pihak di luar negara juga telah dikenal pasti untuk membantu proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi SPRM.

Beliau berkata, pegawai penyiasat sedang meneliti pelbagai dokumen penting termasuk kertas cadangan awal dan akhir, laporan lawatan tapak, laporan usaha wajar (due diligence), minit mesyuarat, dokumen tatacara pelaburan serta rekod kewangan KWAP.

Menurutnya, siasatan meliputi unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, selain aspek tatakelola, prosedur kewangan, perundangan serta proses membuat keputusan pelaburan.

SPRM juga akan mengemukakan permohonan Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (MACMA) melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa luar negara bagi mendapatkan keterangan daripada saksi yang dikenal pasti.

“Saya telah mengarahkan siasatan dilakukan terperinci dari segala aspek, secara telus dan adil serta menyeluruh.

Akan dipastikan di dalam proses penyiasatan itu, ‘will leave no stone unturned in their search for evidence’,” katanya.

Beliau berkata, lebih ramai individu dijangka dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan dan Panel Pelaburan KWAP, selain pengesanan aliran kewangan menerusi analisis transaksi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.