
KUALA LUMPUR, 23 Julai- Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 yang diluluskan Dewan Negara hari ini tidak melibatkan implikasi kewangan baharu yang signifikan kepada kerajaan.
- Pindaan memperluas kuasa ekstrateritori Akta 792 untuk kesalahan dilakukan di luar negara jika pelaku atau mangsa mempunyai kaitan Malaysia.
- Pelaksanaan akan memanfaatkan struktur, kepakaran dan mekanisme penguatkuasaan sedia ada tanpa keperluan jawatan atau sistem teknologi baru.
- Penguatkuasaan rentas sempadan melalui MLA, Notis Merah Interpol dan ekstradisi; PDRM mempunyai keupayaan forensik digital tangani AI, deepfake dan CSAM.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata pelaksanaan pindaan itu akan memanfaatkan struktur organisasi, kepakaran serta mekanisme penguatkuasaan sedia ada tanpa memerlukan pewujudan jawatan baharu atau sistem teknologi khusus.
Beliau berkata sebarang keperluan memperkukuh aspek operasi atau teknologi pada masa hadapan boleh dilaksanakan menerusi mekanisme serta peruntukan sedia ada mengikut keperluan semasa.
“Begitu juga dengan kos berkaitan siasatan rentas sempadan yang akan terus diuruskan menerusi saluran kerjasama antarabangsa yang telah lama diamalkan oleh agensi penguatkuasaan.
“Justeru, pelaksanaan pindaan ini tidak memerlukan mekanisme baharu yang membawa implikasi kewangan yang signifikan kepada kerajaan,” katanya ketika sesi penggulungan RUU berkenaan di Dewan Negara, hari ini.
RUU berkenaan diluluskan selepas dibahaskan 19 Ahli Dewan Negara dan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bacaan kali kedua.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah melibatkan warga asing meningkat daripada 1,095 kes pada 2021 kepada 2,385 kes pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 117 peratus dalam tempoh lima tahun.
Beliau berkata jumlah suspek warga asing dalam tempoh sama turut meningkat daripada 67 orang kepada 148 orang, dengan majoritinya membabitkan warganegara Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Pakistan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan rentas sempadan akan terus dilaksanakan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA), kerjasama Interpol menerusi Notis Merah (Red Notice) serta perjanjian ekstradisi dengan negara rakan.
“Bagaimanapun, Notis Merah Interpol bukan merupakan perintah ekstradisi yang mengikat kerana pelaksanaannya bergantung kepada undang-undang domestik negara yang menerima permohonan serta prinsip dual criminality,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kulasegaran berkata PDRM mempunyai keupayaan forensik digital bagi mengendalikan kes jenayah seksual melibatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), kandungan deepfake serta bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Beliau berkata siasatan memberi tumpuan kepada pemeliharaan rantaian jagaan bahan bukti, pemeriksaan forensik digital, analisis kandungan AI, pengumpulan keterangan sokongan serta penyediaan laporan pakar bagi menyokong pendakwaan di mahkamah.
RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 Jun lepas itu bertujuan meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi memperluas pemakaian luar wilayah akta itu terhadap kesalahan yang dilakukan di luar negara apabila pelaku atau mangsa mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.