
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Penyanyi Ismail Izzani kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul “One On One”, sekali gus menandakan kebangkitan semula penuh gaya dalam industri muzik tempatan.
- Terbitan Universal Music Malaysia dan sentuhan kreatif ALYPH menghasilkan lagu yang jadi pembuka tirai album Ismail.
- "One On One" mengangkat kisah cinta ringkas namun sarat emosi, menonjolkan detik intim dua insan tanpa gangguan dunia luar.
- Kolaborasi bersama ALYPH lebih istimewa, mereka bina idea secara organik menghasilkan proses penciptaan yang lebih mendalam dan jujur.
- Dipilih sebagai lagu pertama dalam album yang dirancang, memberi bayangan arah muzik Ismail yang lebih matang, kini distrim di semua platform.
Terbitan Universal Music Malaysia dan hasil sentuhan kreatif ALYPH, “One On One” bukan sekadar karya baharu, malah menjadi pembuka tirai kepada album yang dinanti-nantikan peminat tahun ini.
Mengangkat kisah cinta yang ringkas tetapi sarat emosi, “One On One” membawa pendengar menyelami detik intim dua insan yang ingin meluangkan masa bersama tanpa gangguan dunia luar.
Lagu ini menonjolkan sisi lebih matang Ismail, dengan pendekatan muzik yang lebih jujur dan dekat dengan realiti kehidupan.
Menurut Ismail, lagu tersebut lahir daripada perasaan yang tulus.
“Bila kita bersama orang yang kita sayang, rasa macam dunia berhenti sekejap. Itu yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” katanya.
Lebih menarik, kolaborasi bersama ALYPH kali ini disifatkan lebih istimewa apabila kedua-duanya mengambil masa lebih panjang untuk membina idea secara organik.
Hubungan rapat yang terjalin menjadikan proses penciptaan lagu lebih mendalam dan penuh kejujuran.
Walaupun ada yang mengaitkan “One On One” dengan aura lagu popularnya seperti Bidadari, Ismail menegaskan karya ini adalah simbol evolusi dirinya sebagai anak seni.
“Saya tak mahu ulang apa yang pernah saya buat. Ini adalah permulaan kepada fasa baharu dan identiti muzik yang lebih matang,” jelasnya.
Single ini juga mempunyai nilai sentimental tersendiri apabila menjadi lagu pertama dipilih untuk dimuatkan dalam album baharu yang telah lama dirancang. Ia sekali gus memberi bayangan awal terhadap hala tuju muzik yang bakal dibawakan Ismail dalam projek terbesarnya itu.
Dengan semangat dan kematangan baharu, Ismail berharap peminat terus menyokong perjalanan seninya.
“One On One” kini boleh distrim di semua platform digital, sementara peminat menantikan kejutan seterusnya dalam album penuh yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.