Solidariti Anak Seni: Dwan Olan terima suntikan semangat

Penyanyi rock veteran, Dwan berbaju merah

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Lima tahun berdepan masalah kesihatan, penyanyi rock veteran, Dwan daripada kumpulan Olan tidak pernah dilupakan apabila komuniti seni dan peminat tampil menghulurkan bantuan dalam satu majlis khas sederhana.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komuniti seni, rakan artis dan peminat mengadakan majlis khas di Restoran Afee Utopia untuk membantu Dwan Olan.
  • Inisiatif Panther TXR KL disokong 10 kumpulan dari seluruh negara menunjukkan solidariti kuat dalam kalangan penggiat seni.
  • Penyerahan sumbangan secara simbolik diharap meringankan beban dan menjadi suntikan semangat untuk terus bertahan.

Majlis penuh bermakna itu berlangsung di Restoran Afee Utopia, milik penyanyi Afee Utopia yang turut bertindak sebagai tuan rumah.

Suasana yang sarat dengan elemen nostalgia dan keakraban jelas dirasai apabila rakan-rakan artis lama berkumpul demi satu tujuan membantu sahabat seperjuangan yang memerlukan.

Inisiatif murni ini digerakkan oleh ahli kelab Panther TXR KL sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan penggiat seni tanah air.

Kehadiran artis seperti Shafie Rio, Wom UG14 dan Reen Eva menambahkan lagi seri majlis, sekali gus membuktikan ikatan persaudaraan dalam industri hiburan tempatan masih utuh.

Lebih menyentuh hati, majlis tersebut turut menghimpunkan 10 kumpulan di bawah rangkaian Panther TXR dari seluruh negara termasuk Panther KL, Hujung Mari, Gagak Jahat, TXR Puchong, Panther Seremban, TXR Ampang, TXR Sungai Buloh, TXR Ipoh, Paruh Merah dan TXR Syndicate.

Kemuncak acara menyaksikan penyerahan sumbangan dilakukan secara simbolik oleh wakil Panther TXR KL bersama barisan artis kepada Dwan Olan.

Sumbangan itu diharap mampu meringankan beban serta menjadi suntikan semangat buat penyanyi berkenaan untuk terus kuat menghadapi ujian hidup.

Program seperti ini membukti bahawa kebajikan anak seni sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak serta memperlihatkan kekuatan solidariti dalam industri hiburan tanah air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.