Radio Klasik kekal relevan, tarik lebih 500,000 pendengar muda

Tan Sri Johari Abdul bersama warga kerja dan penyampai Radio Klasik/ Facebook: Radio Klasik

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Radio Klasik membuktikan ia masih mempunyai daya tarikan merentas generasi apabila berjaya menarik lebih 500,000 pendengar muda berusia antara 18 hingga 30 tahun berdasarkan data terkini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Johari terkejut data pendengar menolak tanggapan bahawa peminat Radio Klasik hanya golongan lebih berusia.
  • Radio Klasik perlu diperkasakan dengan mengambil kira perubahan landskap penyiaran dan perkembangan platform digital.
  • Pengalaman sebagai penyampai menunjukkan kerja DJ memerlukan penyampaian tepat, sebutan betul dan maklumat berfakta, diikuti pendengar antarabangsa.

Perkara itu turut dikongsikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika menjadi penyampai jemputan di konti Radio Klasik, hari ini.

“Saya amat terperanjat selepas melihat data pendengar Radio Klasik kerana sebelum ini saya menyangka peminatnya terdiri daripada golongan berusia seperti saya. Ternyata tanggapan itu salah.

“Sebenarnya, mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun merupakan antara kumpulan pendengar paling ramai, dengan jumlah melebihi setengah juta orang, mengatasi pendengar daripada golongan lebih berusia.

“Ini menunjukkan Radio Klasik mempunyai potensi yang amat luas,” katanya.

Tambahnya, perkembangan itu menunjukkan kandungan Radio Klasik masih relevan dalam memenuhi cita rasa pendengar masa kini termasuk generasi muda yang menghargai muzik serta nilai yang dibawakan menerusi lagu-lagu klasik.

Tan Sri Johari Abdul ketika merasai pengalaman sebagai penyampai radio/ Facebook: Radio Klasik

Justeru, jelas beliau, Radio Klasik perlu terus diperkasakan dengan mengambil kira perubahan landskap penyiaran dan perkembangan platform digital supaya kekal menjadi pilihan pendengar.

Tan Sri Johari ditemui pemberita RTM selepas menjadi penyampai jemputan bagi program ‘Sajian Klasik Istimewa’ di konti Radio Klasik, Angkasapuri, di sini, pagi ini.

Beliau bergandingan bersama penyampai, Dj Anisma Azwati Ahmad dan Dj Izzat Sauffi, sekali gus berpeluang merasai pengalaman sebagai penyampai radio.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada RTM khususnya Radio Klasik kerana menjemput saya untuk merasai pengalaman sebagai DJ (penyampai radio).

“Rupanya bukan mudah untuk menjadi seorang DJ. Penyampaian perlu tepat, sebutan mesti betul dan setiap maklumat yang disampaikan perlu berfakta kerana siaran ini bukan sahaja didengari di Malaysia, malah boleh diikuti pendengar di seluruh dunia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.