KUCHING, 1 Julai- Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) tahun ini merekodkan kehadiran terbesar sepanjang penganjurannya sejak 27 tahun lepas.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setakat Sabtu, pihaknya merekodkan lebih 26,000 kehadiran pengunjung mengatasi jumlah tertinggi pada 2019 lepas sekitar 23,000 penonton.
Beliau percaya penyertaan artis terkemuka dan pemenang anugerah Grammy menyumbang kepada peningkatan itu.
Tahun ini RWMF menampilkan beberapa nama besar dalam industri muzik seperti Kitaro, Datuk Zainal Abidin dan ramai lagi.
"Pemenang anugerah Grammy antara faktor penarik ramai pengunjung kali ini, tetapi apa yang lebih penting semua orang gembira,"katanya dalam sidang media di Kampung Budaya Sarawak, Teluk Bandung malam tadi.
Jelas Abdul Karim lagi, pihaknya akan terus meningkatkan kualiti penganjuran RWMF pada tahun mendatang dalam usaha membawa lebih ramai pengunjung ke Sarawak.