KUALA LUMPUR, 7 Disember — Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33, anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), mendapat sambutan hangat daripada golongan artis dan pekerja belakang tabir industri seni tanah air.
Bertemakan 'Evolusi Sinema Malaysia' (EMAS), menjadi landasan meraikan kecemerlangan filem dan bakat kreatif tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran malam ini.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, cuaca pun okay petang tadi, karpet merah tadi kita dah lalui. Lihat ramai juga artis dan artis-artis yang bukan dicalon pun hadir. Itu menunjukkan yang industri kita ini sihat yang mana semua ingin turut serta untuk meraikan," katanya ketika ditemui media di Kota Media, Angkasapuri di sini hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan FFM sebagai platform untuk mengiktiraf kerja keras pelakon dan penggiat belakang tabir.
"FFM ini adalah satu platform untuk kita mengangkat karya-karya atau pun pelakon-pelakon dan juga yang belakang tabir. Usaha ataupun kerja keras mereka untuk diangkat dan selepas pada FFM, FINAS juga akan bantu mereka untuk membangunkan karier mereka ke peringkat lebih tinggi, Insya-Allah," tambahnya.
Sebanyak 29 kategori dipertandingkan pada malam ini, setelah dua tahun tidak diadakan ekoran COVID-19.
Turut hadir pada festival itu malam ini, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah RTM Datuk Suhaimi Sulaiman.
Festival ini disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui siaran TV2 serta platform digital RTMKlik.