KUALA LUMPUR, 4 September - Sempena sambutan Hari Malaysia, penyanyi yang juga anak jati Sabah, Azharina Azhar, melancarkan lagu patriotik pertamanya berjudul "Gunung Kinabalu", hasil duet istimewa bersama penyanyi, Daniesh Suffian.
Lagu itu dihasilkan sebagai penghormatan kepada Sabah serta mengenang jasa Allahyarham, Datuk M.Y. Ismail, tokoh keluarga yang amat disanjungi.
"Gunung Kinabalu" merupakan adaptasi daripada karya asal yang pernah dipopularkan oleh Surianah Mansah, ibu kepada Daniesh dan artis pop Sabah era 1990-an, kini diberi nafas baharu dengan susunan muzik dan lirik segar berteraskan semangat cintakan negeri serta tanah air," katanya kepada RTM.
Menurut Azharina, projek itu bukan sahaja pencapaian profesional, tetapi kenangan peribadi yang amat bermakna.
“Ini adalah lagu patriotik pertama saya dan saya amat bersyukur kerana dapat menyanyikannya sebagai anak Sabah. Lebih membahagiakan, saya dapat bekerjasama dengan sepupu saya sendiri, Daniesh.
"Kami sangat rapat, jadi projek ini terasa amat istimewa. Saya harap akan ada lebih banyak kolaboratif seperti ini pada masa hadapan kerana ia mengangkat warisan keluarga dan tanah kelahiran kami,” katanya lagi.
Tambah Azharina,"Gunung Kinabalu" dipilih kerana ia simbol kekuatan, ketabahan dan kebanggaan rakyat Sabah ianya bukan sekadar ikon geografi tetapi lambang jati diri negeri di bawah bayu.
Bagi Daniesh, pengalaman bergandingan dengan Azharina adalah peluang besar dalam kerjayanya serta detik keluarga yang penuh emosi.
“Projek ini memberi saya peluang baharu dalam karier. Bekerjasama dengan Kak Azharina membawa rasa istimewa. Kami dapat merasakan keserasian yang kuat sepanjang proses rakaman.
"Malah, peminat di media sosial turut memberikan sokongan positif dan berharap kami teruskan kolaboratif ini,” jelasnya.
"Gunung Kinabalu" dilancarkan secara rasmi semalam bersempena Hari Malaysia di semua platform digital utama berserta pelancaran video muzik rasmi.