Xi Jinping tiba di AS, Trump beri sambutan luar biasa

Xi Jinping (kiri) dan Donal Trump/ AFP

WASHINGTON, 24 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyambut Presiden China, Xi Jinping secara peribadi di lapangan terbang pada Rabu, sempena lawatan negara pemimpin China itu ke Washington.

RINGKASAN BERITA AI
  • Acara rasmi termasuk jamuan negara, pertunjukan udara ketenteraan dan tabik hormat 21 das tembakan.
  • Perbincangan kedua pemimpin dijangka fokus kepada pembangunan dan keselamatan AI, serta isu perdagangan dan hubungan ekonomi.
  • Sambutan besar-besaran dikritik Republikan berikutan dakwaan bantuan China kepada Iran; Trump mengecilkan kebimbangan itu.

Tindakan itu jarang dilakukan oleh Presiden AS dan menjadi pembukaan kepada lawatan negara Xi selama tiga hari yang dijangka memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), perdagangan serta konflik Iran.

Trump bersama isterinya, Melania Trump menyambut ketibaan Xi dan isterinya, Peng Liyuan di Pangkalan Bersama Andrews di Maryland.

Menurut laporan, Xi tiba di Washington menaiki pesawat khas bersama Peng, anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Cai Qi serta Menteri Luar China, Wang Yi dan beberapa pegawai lain.

Lawatan itu turut disambut dengan acara rasmi termasuk jamuan negara, pertunjukan udara ketenteraan dan tabik hormat dengan 21 das tembakan.

Pada Khamis, Trump dijadualkan mengadakan upacara sambutan rasmi untuk Xi di White House, termasuk pertunjukan udara membabitkan pesawat pejuang F-22 dan pesawat pengebom B-2, sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan di Pejabat Oval dan jamuan negara.

Xi dijadual menamatkan lawatan pada Jumaat dengan kunjungan ke White House untuk minum teh bersama Trump dan Melania, sebelum melawat Arkib Negara Amerika Syarikat.

Pertemuan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa isu utama, termasuk perkembangan dan keselamatan AI, perdagangan serta hubungan ekonomi antara AS dan China.

Bagaimanapun, jangkaan terhadap sebarang perjanjian besar berkaitan kawal selia AI adalah terhad, ketika kedua-dua negara terus bersaing untuk menguasai teknologi berkenaan.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, pegawai kedua-dua negara turut mengadakan perbincangan substantif pada Rabu sebagai persiapan sebelum pertemuan Xi dan Trump.

Perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu juga dijangka menjadi antara isu utama, khususnya usaha melanjutkan gencatan tarif yang dicapai sebelum ini.

Jonathan Czin dari Brookings Institution berkata jangkaan terhadap hasil konkrit pertemuan itu adalah rendah, namun terdapat kemungkinan kedua-dua pihak meneruskan persetujuan sementara berhubung tarif.

Sambutan besar-besaran terhadap Xi turut menerima kritikan daripada beberapa anggota Republikan di AS, terutama susulan laporan mengenai dakwaan bantuan China kepada Iran.

Senator Republikan, Roger Wicker yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat AS, mengkritik sambutan itu dan berkata Trump perlu mengambil kira isu berkenaan.

Bagaimanapun, Trump mengecilkan keperluan untuk membangkitkan dakwaan tersebut, dengan menyatakan bahawa AS dan China turut menjalankan kegiatan risikan terhadap satu sama lain.

Timbalan Setiausaha Akhbar White House, Taylor Rogers pula menolak kritikan Wicker dan berkata Trump sedang mengambil tindakan yang dianggapnya demi kepentingan negara AS.

Lawatan Xi ke AS kali ini merupakan lawatan negara pertamanya ke negara itu dalam tempoh lebih sedekad.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.