Isu baja Kedah: SPRM selesai siasat, dua individu bakal didakwa

Foto RTM

PUTRAJAYA, 25 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan berhubung isu kelewatan pengedaran baja kepada pesawah di Kedah dan memperakukan pertuduhan terhadap dua individu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
  • Jika Pendakwa Raya memberi keizinan, pertuduhan mungkin didaftarkan minggu depan atau minggu berikutnya.
  • Individu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009; identiti mereka tidak didedahkan.
  • Aduan polis oleh gabungan pesawah dan aduan PeSAWAH dibuat berhubung kelewatan pembekalan baja untuk kawasan MADA seluas kira-kira 100,000 hektar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kami telah menyelesaikan penyiasatan. Jika diberikan keizinan oleh Pendakwa Raya terhadap perakuan kami, mungkin minggu depan atau minggu berikutnya, pertuduhan akan didaftarkan di mahkamah,” jelas beliau pada sidang media Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali ke-5 2026 di sini.

Menurut beliau, kedua-dua individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti mereka buat masa ini.

Isu kelewatan pembekalan Baja Padi 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendapat perhatian selepas gabungan pesawah Kedah membuat laporan polis pada 25 Ogos lalu.

Sehari kemudian, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) turut membuat aduan kepada SPRM Kedah berhubung kelewatan pembekalan baja bagi memenuhi keperluan kawasan MADA seluas kira-kira 100,000 hektar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.