Turkiye, Pakistan kerah tentera ke Arab Saudi

Timbalan Perdana Menteri Pakistan, Ishaq Dar (kiri) Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman Al Saud (tengah) dan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan (kanan) / Foto AFP

RIYADH, 6 Oktober – Turkiye dan Pakistan akan mengerahkan tentera ke Arab Saudi susulan peningkatan serangan Houthi terhadap kerajaan itu, menurut kenyataan bersama ketiga-tiga negara pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah mengikat ketiga negara untuk saling membantu jika mana-mana pihak diserang.
  • Wakil ketiga negara mengadakan mesyuarat tergempar di Riyadh membincangkan serangan Houthi termasuk sasaran terhadap Mekah dan Madinah.
  • Kenyataan sama menegaskan penolakan terhadap sebarang serangan serta ancaman terhadap keselamatan dan integriti wilayah Arab Saudi.
  • Ketiga pihak setuju mempercepat pelaksanaan komitmen pertahanan kolektif dan menyediakan pasukan serta keupayaan ketenteraan yang dipersetujui.

Pengerahan tentera akan dilaksana dengan segera, namun bidang tugas mereka sebaik tiba di Arab Saudi belum diperincikan.

Langkah berkenaan dibuat susulan Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah yang ditandatangani pada Ogos mengikat ketiga-tiga negara untuk saling membantu sekiranya mana-mana pihak diserang.

Wakil Turkiye, Pakistan dan Arab Saudi mengadakan mesyuarat tergempar di Riyadh semalam bagi membincangkan serangan terbaharu Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk yang menyasarkan Mekah dan Madinah.

Kenyataan sama turut memaklumkan, ketiga-tiga pihak menegaskan semula penolakan terhadap sebarang serangan atau ancaman terhadap keselamatan serta integriti wilayah Arab Saudi.

Persetujuan turut dicapai berkaitan usaha mempercepat pelaksanaan komitmen pertahanan kolektif, termasuk menyediakan pasukan dan keupayaan ketenteraan yang dipersetujui.

Pakatan pertahanan itu menghimpunkan Turkiye yang memiliki angkatan tentera kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Pakistan sebagai satu-satunya negara bersenjata nuklear dalam dunia Islam, serta Arab Saudi sebagai kuasa utama Teluk. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.