
BEIJING, 31 Ogos – Pihak berkuasa China mengenakan tindakan terhadap 10 individu yang didakwa menyebarkan maklumat palsu secara dalam talian berhubung kejadian tanah runtuh di sempadan Nepal.
- China ambil tindakan terhadap 10 individu yang didakwa menyebar maklumat palsu berkaitan tanah runtuh, boleh dikenakan denda atau penahanan sehingga 10 hari.
- Kerajaan menegaskan laporan rasmi dibuat secara terbuka, telus dan tepat waktu; menolak tindakan mensensasikan bencana serta penyebaran khabar angin berniat jahat.
- Operasi mencari dan menyelamat dipergiatkan di sempadan Nepal dan Tibet, dengan kampung musnah, ramai hilang dan medan operasi mencabar.
Polis memaklumkan, tindakan itu boleh meliputi denda hingga penahanan selama 10 hari.
Menurut kenyataan Biro Keselamatan Siber Kementerian Keselamatan Awam China, khabar angin yang disebarkan 10 individu itu mendakwa jumlah mangsa yang hilang atau maut jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi.
Seorang individu dikenali sebagai Qiu, mendakwa bahawa jumlah kematian sebenar mencecah 3,000 orang, berbanding 1,400 seperti yang dilaporkan media.
Seorang lagi dikenali sebagai Liu turut mendakwa lebih 3,000 orang maut di China akibat kejadian tanah runtuh berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menyatakan secara terperinci bentuk hukuman yang dikenakan terhadap setiap individu.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar, Guo Jiakun, Luar China pada Isnin menegaskan bahawa penyampaian maklumat berhubung bencana itu dibuat secara terbuka, telus dan tepat pada masanya.
“Tindakan memburukkan keadaan dengan niat jahat serta mensensasikan bencana tidak akan mendapat sokongan masyarakat, “katanya ketika diminta mengulas laporan antarabangsa yang mendakwa China menapis imej banjir serta tidak melaporkan jumlah kematian sebenar.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan di kedua-dua belah sempadan, susulan kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh besar yang melanda beberapa kawasan Nepal dan Tibet, China, minggu lalu.
Bencana itu turut menyebabkan beberapa kampung musnah, manakala ratusan mangsa masih dilaporkan hilang di sebuah pintu sempadan di wilayah Tibet.
Sekurang-kurangnya 903 orang terkorban di Nepal, manakala 4,247 lagi masih hilang, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nepal.
Di China, media rasmi negara, Xinhua melaporkan 16 maut, manakala 546 orang hilang dalam kejadian tanah runtuh yang turut memusnahkan kawasan seluas kira-kira 0.7 kilometer persegi, bersamaan keluasan 98 padang bola sepak..
“Petugas kecemasan bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari mangsa yang terselamat.
“Pasukan penyelamat terus memasuki kawasan bencana utama meskipun berdepan cabaran seperti bentuk muka bumi berketinggian, lembah curam serta keadaan cuaca tidak menentu, ” lapor Xinhua pada Isnin.
Di Tibet, operasi meliputi kerja-kerja membersihkan lumpur dari laluan, mencari dan menyelamat mangsa, mengenal pasti kawasan berisiko, pembasmian kuman serta pencegahan wabak, selain membersihkan dan membaik pulih laluan yang rosak.
Gyirong, daerah yang paling teruk terjejas akibat tanah runtuh, dijangka menerima hujan dalam tempoh beberapa hari akan datang, sekali gus berpotensi menyebabkan keadaan jalan licin dan menyukarkan operasi menyelamat.
Rakaman stesen penyiaran CCTV menunjukkan anggota penyelamat bersama anjing pengesan meredah timbunan sisa kemusnahan di kawasan lembah yang dilanda tanah runtuh.
Di beberapa kawasan lain, anggota penyelamat dilihat meredah lumpur tebal, manakala sebahagian lagi membaiki talian elektrik yang rosak.
Xinhua pada malam Ahad melaporkan, perkhidmatan komunikasi di Pelabuhan Gyirong telah dipulihkan.
Di Tibet, 261 warga asing merupakan antara mangsa yang masih hilang, termasuk 104 rakyat Nepal, 49 dari India, 33 dari Latvia dan 18 warga Amerika Syarikat.
Pekerja yang berada berhampiran pelabuhan berkenaan telah dipindahkan ke lokasi selamat pada Ahad, selepas sebuah tasik baharu terbentuk akibat tanah runtuh.
Bagaimanapun, Kementerian Pengurusan Kecemasan China pada malam Ahad memaklumkan tasik berkenaan telah melimpah secara semula jadi dan pada dasarnya telah surut.
Presiden Xi Jinping pada Isnin berkata, China sedang menggembleng segala usaha untuk mencari mangsa yang masih hilang di sebelah sempadannya.