Indonesia siasat dakwaan rakyatnya berjuang untuk Rusia di Ukraine

Foto AFP

JAKARTA, 31 Ogos – Indonesia telah melancarkan siasatan berhubung dakwaan mengatakan beberapa rakyatnya telah menyertai tentera Rusia dan telah dikerahkan dalam perang di Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar sedang mengesahkan maklumat bersama kementerian dan institusi kerajaan berkaitan.
  • Bilangan rakyat Indonesia yang disyaki terlibat tidak dinyatakan.
  • Jika sah, individu berisiko kehilangan kewarganegaraan tanpa kebenaran presiden untuk berkhidmat dalam tentera asing.
  • Kerajaan akan menyiasat kemungkinan penipuan, eksploitasi atau perekrutan melalui tawaran pekerjaan tidak seperti tujuan asal.

Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang berusaha mengesahkan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa Ukraine itu dengan beberapa kementerian serta institusi kerajaan berkaitan.

Bagaimanapun, jumlah rakyat Indonesia yang disyaki terlibat tidak dinyatakan.

Jika maklumat itu disahkan benar, individu terbabit berisiko kehilangan kewarganegaraan berdasarkan undang-undang yang mewajibkan rakyat Indonesia mendapatkan kebenaran presiden sekiranya mahu berkhidmat dalam angkatan tentera asing.

“Jika pembabitan warga Indonesia dalam pasukan bersenjata di negara asing disahkan, ia adalah tindakan peribadi dan tidak mewakili dasar atau pendirian kerajaan Indonesia, ” tegas Kementerian Luar dalam kenyataan itu.

Indonesia secara tradisinya bukan sumber tentera upahan bagi Rusia atau Ukraine, yang kedua-duanya merekrut pejuang asing sepanjang konflik berkenaan.

“Maklumat mengenai identiti, status kewarganegaraan, proses perekrutan serta bentuk penglibatan individu terbabit masih perlu disahkan dengan lebih lanjut.

“Kerajaan Indonesia turut akan menyiasat kemungkinan berlakunya penipuan, eksploitasi atau perekrutan menerusi tawaran pekerjaan yang tidak seperti tujuan asal, ” menurut kenyataan itu lagi.

Warga dari beberapa negara Afrika sebelum ini dilaporkan dipaksa menyertai tentera Rusia untuk berperang di Ukraine selepas diperdaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.