
TEHRAN, 31 Ogos – Pihak berkuasa Iran telah merampas sebuah kapal pengangkut pukal selepas mendakwa kapal itu membuang minyak dan enap cemar ke Selat Hormuz.
- Pasukan pakar dan pembersihan dihantar selepas rakaman pembuangan minyak ke laut tular.
- Kapal membawa gula dan didapati membuang minyak terbakar, air lambung dan enap cemar industri ke laut.
- Sisa pencemaran dibersihkan dan kapal dirujuk kepada pihak kehakiman untuk tindakan lanjut.
- Tehran merancang mengenakan bayaran laluan untuk membiayai perkhidmatan termasuk perlindungan alam sekitar, namun AS menentang keras.
Timbalan Ketua Jabatan Pelabuhan dan Maritim wilayah Hormozgan, Esmaeil Makizadeh, berkata pasukan pakar dan pembersihan dihantar ke lokasi selepas rakaman pembuangan minyak ke laut itu tular.
“Kapal berkenaan membawa muatan gula dan didapati membuang campuran minyak terbakar, air lambung kapal serta enap cemar industri terus ke laut,” katanya kepada agensi berita rasmi, IRNA.
Bagaimanapun, bendera kapal dan kewarganegaraan anak kapalnya tidak dinyatakan.
Menurut beliau, sisa pencemaran itu telah dibersihkan, manakala kapal berkenaan dirujuk kepada pihak kehakiman untuk tindakan lanjut.
Iran sebelum ini menuntut pampasan susulan beberapa kejadian tumpahan minyak dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk berhampiran Pulau Qeshm.
Pada awal Ogos, tumpahan minyak turut dikesan berhampiran perairan Oman daripada sebuah kapal tangki minyak yang terkandas.
Siasatan AFP mendapati kapal berkenaan terkandas selama beberapa minggu berhampiran Pulau Al-Qibliyyah, Oman, selepas mengalami kerosakan akibat letupan.
Iran mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz sejak tercetusnya perang Asia Barat pada Februari lalu.
Menurut Tehran, pihaknya merancang mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui selat berkenaan bagi membiayai perkhidmatan termasuk perlindungan alam sekitar.
Amerika Syarikat bagaimanapun menentang keras sebarang pelaksanaan kutipan bayaran atau tol di Selat Hormuz. – AFP