
NEW DELHI, 31 Ogos – Ekonomi India berkembang lebih pantas daripada jangkaan pada suku kedua tahun ini, didorong permintaan domestik yang kukuh meskipun berdepan kesan konflik Asia Barat.
- KDNK meningkat 7.8 peratus bagi April hingga Jun, disokong sektor perkhidmatan yang rancak.
- Konflik Asia Barat meningkatkan kos tenaga dan menambah tekanan inflasi kerana ketergantungan import minyak dan gas.
- Kerajaan melindungi pengguna melalui kawalan harga bahan api dan potongan cukai, namun keberlanjutan langkah diragui jika ketegangan terus berlaku.
Data rasmi Kementerian Perangkaan India menunjukkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 7.8 peratus bagi tempoh April hingga Jun, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disokong sektor perkhidmatan yang rancak.
Walaupun pertumbuhan itu lebih rendah berbanding 8.6 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya selepas disemak semula, ia masih mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 7.3 peratus.
“Ekonomi India terus mengekalkan momentum pertumbuhan meskipun berdepan cabaran global, ” menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Data terbaharu itu mengukuhkan kedudukan India sebagai ekonomi utama yang berkembang paling pantas di dunia, sekali gus memberi perkembangan positif kepada kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi yang berdepan cabaran politik dan beberapa isu dasar.
Unjuran ekonomi India tahun ini bermula dengan pertumbuhan yang kukuh, selain perkembangan dalam rundingan perjanjian perdagangan sementara dengan Amerika Syarikat yang tertangguh sekian lama.
Bagaimanapun, momentum itu terjejas susulan kebuntuan rundingan dengan Washington, manakala perang Asia Barat turut meningkatkan kos tenaga dan bil import India, sekali gus mencetuskan tekanan inflasi.
India amat bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan minyak dan gas, menjadikan ia terdedah kepada kejutan tenaga global susulan konflik berkenaan.
Penilaian awal mengenai pergolakan di Asia Barat mendorong bank pusat India menurunkan unjuran pertumbuhan bagi tahun kewangan semasa, sebelum unjuran itu dinaikkan semula.
Kerajaan India setakat ini melindungi rakyat daripada kesan ekonomi terburuk akibat perang berkenaan menerusi kenaikan harga bahan api yang terhad dan dilaksanakan secara berperingkat.
Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran langkah itu mungkin sukar dikekalkan susulan ketegangan baharu di Asia Barat serta harga minyak mentah global yang kekal tinggi.
Pemotongan besar-besaran cukai penggunaan dan pendapatan tahun lalu turut membantu merancakkan permintaan domestik, sekali gus melindungi ekonomi India daripada kesan ketegangan geopolitik termasuk siri tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. – AFP