Iran tidak berminat teruskan perang dengan AS

Foto AFP

BISHKEK, 31 Ogos – Iran tidak berminat untuk meneruskan perang dengan Amerika Syarikat, (AS) susulan ketegangan ketenteraan terbaharu antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Pezeshkian berkata Iran berusaha mencapai persetujuan dan persefahaman; perang berterusan tidak menguntungkan Iran atau rantau.
  • Beliau menegaskan penyelesaian melalui dialog dan kerjasama untuk mengelakkan ketidakstabilan serta penyebaran konflik.
  • Kenyataan itu dibuat selepas tentera AS menyerang Pulau Larak, kali pertama pertukaran serangan dalam sebulan di Selat Hormuz.
  • Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan ke atas pangkalan AS di Jordan dan Emiriah Arab Bersatu.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, Iran terus berusaha mencapai persetujuan dan persefahaman, selain menegaskan perang berterusan tidak menguntungkan Iran mahupun rantau berkenaan.

Beliau menyatakan demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, menjelang sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Kyrgyzstan.

“Penyelesaian kepada masalah sedia ada ialah menerusi dialog dan kerjasama, dengan segala usaha perlu digembleng bagi mengelakkan ketidakstabilan serta konflik daripada terus merebak,” tambah beliau, menurut kenyataan dari Istana Presiden.

Kenyataan Pezeshkian itu dibuat selepas tentera AS menyerang Pulau Larak, Iran, yang menyaksikan kali pertama kedua-dua pihak berbalas serangan dalam tempoh sebulan di sekitar Selat Hormuz.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan ke atas pangkalan AS di Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

AS dan sekutunya, Israel mula menyerang Iran pada 28 Februari, mengorbankan pemimpin tertinggi republik Islam itu, Ali Khamenei, selain beberapa pegawai kanan tentera.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan di beberapa lokasi di rantau berkenaan, menyebabkan konflik terus merebak.

Gencatan senjata pada April menamatkan pertempuran paling sengit, namun serangan berkala, khususnya di sekitar Selat Hormuz, menjejaskan prospek mencapai perjanjian damai muktamad.

Washington turut meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran dengan matlamat utama melumpuhkan Iran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.