
JAKARTA, 16 September – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Jakarta bermula esok bagi memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia-Indonesia dalam beberapa bidang strategik.
- Penyertaan Ahmad Zahid pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5 untuk memperhalusi kerjasama halal dan memupuk Majlis Halal ASEAN.
- Kerjasama JAKIM dan BPJPH disambung melalui memorandum kerjasama dilanjutkan sehingga 8 Jun 2029 bagi pensijilan dan penyelarasan halal dua hala.
- Indonesia mewajibkan sijil halal untuk produk tertentu; nilai perdagangan halal dua hala dianggarkan AS$2-3 bilion setahun.
- Perbincangan dengan Naib Presiden menumpukan pembangunan desa, pengurusan bencana termasuk kebakaran hutan, sempadan, maritim, perdagangan dan TVET.
Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzaffar Shah Mustafa berkata, fokus lawatan tertumpu kepada beberapa agenda penting antaranya penyertaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5.
Jelas beliau, H20 menjadi platform terbaik untuk memperhalusi kerjasama halal termasuk menerusi penubuhan Majlis Halal ASEAN, dengan Malaysia dan Indonesia dilihat berpotensi menjadi penggerak utama inisiatif berkenaan.
“Malaysia berpandangan bahawa kedua-dua negara adalah pemain utama dalam ekosistem halal.
“Kita berpendapat bahawa Malaysia dan Indonesia seharusnya bekerjasama dalam menerajui kerjasama yang lebih erat, terutamanya di peringkat ASEAN,” katanya.
Pada peringkat dua hala, kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia diteruskan menerusi memorandum kerjasama yang dilanjutkan sehingga 8 Jun 2029.
Kerjasama itu semakin penting susulan pelaksanaan keperluan pensijilan halal terhadap produk tertentu di Indonesia, selain nilai perdagangan dua hala yang melibatkan produk berkaitan halal dianggarkan antara AS$2 bilion hingga AS$3 bilion setahun.
“Bagi Malaysia ini merupakan satu langkah yang penting, terutama dengan keputusan kerajaan Indonesia untuk mewajibkan produk khususnya makanan dan kosmetik mempunyai sijil halal,” katanya.
Selain agenda halal, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut dijadual bertemu Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka bagi membincangkan perkembangan hubungan dua hala serta bidang kerjasama yang mempunyai kepentingan bersama.
Antara perkara yang dijangka disentuh ialah pembangunan desa, pengurusan bencana, isu sempadan dan maritim, perdagangan, kesalinghubungan ekonomi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam aspek pengurusan bencana, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dijangka membincangkan kerjasama susulan kebakaran hutan di Indonesia yang turut memberi kesan kepada Malaysia.