Sambut ulang tahun kelahiran ke-81 dalam tahanan, PBB tuntut pembebasan segera Suu Kyi

Pemimpin politik Myanmar, Aung San Suu Kyi / REUTERS

NEW YORK, 20 Jun – Utusan Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Myanmar, Julie Bishop, menggesa pembebasan segera Aung San Suu Kyi yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-81 dalam tahanan junta tentera pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada laporan bebas yang sahih dan boleh disahkan mengenai keadaan semasa serta tahap kesihatan Aung San Suu Kyi.
  • Komuniti antarabangsa berpendapat tiada kemajuan konkrit ke arah keamanan selagi beliau menjadi banduan politik.
  • Selepas rampasan kuasa 2021, beliau dijatuhi hukuman lebih 30 tahun dan dipindahkan ke status tahanan rumah.

Tuntutan itu dikemukakan Bishop kepada negara-negara anggota PBB beberapa minggu selepas lawatan kerja keempat beliau ke Myanmar.

Ia sekali gus membangkitkan kebimbangan antarabangsa berhubung status penahanan pemimpin demokrasi berkenaan.

“Saya telah berulang kali membangkitkan isu kesukaran yang dihadapi Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi kepada Naypyidaw, yang telah dipilih semula pada November 2020 tetapi dijatuhi hukuman tahanan yang keras dan menyeksakan selepas rampasan kuasa tentera,” katanya.

Menurut Bishop, tiada sebarang laporan bebas yang sahih dan boleh disahkan mengenai keadaan semasa serta tahap kesihatan Suu Kyi diperoleh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pada pandangan komuniti antarabangsa, tiada sebarang kemajuan konkrit ke arah keamanan boleh dicapai di Myanmar selagi pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu terus dijadikan banduan politik.

Suu Kyi sebelum ini memegang jawatan rasmi sebagai Kaunselor Negara sebelum kerajaan pimpinannya yang dipilih secara demokratik digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada tahun 2021.

Pada April lalu, pemimpin junta Jeneral Min Aung Hlain yang melantik dirinya sebagai presiden selepas pilihan raya mengumumkan bahawa Suu Kyi yang berdepan hukuman penjara lebih 30 tahun telah dipindahkan ke status tahanan rumah. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.