Penyokong Sanchez berarak di Lima, dakwa wujud kepincangan Pilihan Raya Presiden Peru

Foto AFP

LIMA, 20 Jun – Ratusan penyokong calon presiden berhaluan kiri Peru, Roberto Sanchez, mengadakan perarakan besar-besaran di ibu negara berkenaan bagi menuntut ketelusan berhubung keputusan pilihan raya penentu yang menyaksikan beliau ketinggalan tipis di belakang calon konservatif, Keiko Fujimori, akibat dakwaan penipuan undi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sanchez persoalkan ketelusan selepas kelebihan Fujimori melebar kepada 43,000 undi ketika pengiraan mencapai 99.51 peratus.
  • Parti Together for Peru dakwa rantaian jagaan kertas undi ekspatriat dari AS dan Argentina tidak seragam; Kementerian Luar menafikan sebarang manipulasi.
  • Pihak berkuasa menangguhkan pengisytiharan pemenang untuk menyemak semula lebih 120,000 undi yang dipertikaikan, proses dijangka mengambil sekurang-kurangnya dua minggu.

Perarakan pada malam Jumaat yang diketuai sendiri oleh Sanchez itu menyaksikan para penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di pusat bandar Lima sambil melaungkan slogan mendesak agar integriti undi rakyat dipertahankan.

Sanchez mula mempersoalkan ketelusan proses berkenaan selepas kelebihan undi yang diperoleh Fujimori melebar kepada 43,000 undi, ketika proses pengiraan kertas undi rasmi sudah mencecah 99.51 peratus.

Berdasarkan data terkini daripada laman web Pejabat Kebangsaan Proses Pilihan Raya (ONPE), Fujimori sedang mendahului dengan 50.11 peratus undi, manakala Sanchez mengekorinya rapat dengan 49.88 peratus.

“Kami tidak mengiktiraf kemenangan pihak lawan dan rakyat tidak akan menghormati keputusan undi yang disahkan oleh pihak berkuasa sekiranya penuh dengan kepincangan,” kata salah seorang penyokong, Yuri Guerra, 52, ketika ditemui media.

Selain itu, parti Together for Peru pimpinan Sanchez turut mendakwa wujud ketidakseragaman dalam rantaian jagaan (chain of custody) bagi kertas undi ekspatriat yang dihantar dari Amerika Syarikat dan Argentina.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Peru menyangkal keras sebarang dakwaan berhubung manipulasi undi luar negara yang dikatakan memihak kepada Fujimori.

Fujimori dalam pada itu mempertahankan undi daripada rakyat Peru yang menetap di luar negara dengan menegaskan bahawa setiap undi berkenaan adalah sah serta wajib dihormati oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Pihak berkuasa pilihan raya terpaksa menangguhkan pengisytiharan pemenang rasmi kerana pegawai perlu menyemak semula lembaran pengiraan undi yang dipertikaikan membabitkan lebih 120,000 undi iaitu satu proses yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu.

Pilihan raya penentu yang diadakan pada 7 Jun lepas itu menyaksikan persaingan sengit antara Fujimori, anak perempuan mendiang bekas presiden Alberto Fujimori, dan Sanchez yang merupakan waris politik kepada bekas presiden Pedro Castillo.

Pemenang rasmi pilihan raya itu dijadualkan mengangkat sumpah jawatan pada 28 Julai depan bagi memulakan penggal pentadbiran selama lima tahun. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.