Mogok enam minggu berakhir, kerajaan Bolivia dan Kesatuan Sekerja capai sepakat

Foto REUTERS

LA PAZ, 20 Jun – Krisis sekatan jalan raya dan protes jalanan yang melumpuhkan Bolivia selama lebih enam minggu berakhir selepas Presiden Rodrigo Paz mencapai persetujuan rasmi dengan persekutuan kesatuan sekerja utama negara (COB) pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua tindakan tekanan dan sekatan jalan raya dihentikan serta merta di seluruh negara; pihak terbabit menyeru dialog menggantikan keganasan.
  • Butiran terperinci mengenai pengisian dan terma perjanjian tidak didedahkan kepada umum buat masa ini.
  • Sekatan menutup laluan logistik utama menghalang kemasukan bekalan ke bandar besar, mencetuskan kekurangan kritikal.
  • Harga barangan segar melambung sehingga dua kali ganda; orang ramai beratur panjang dan terpaksa tidur dalam kereta menunggu minyak.

Persetujuan tersebut menyaksikan penamatan serta-merta semua langkah tekanan dan sekatan jalan raya di seluruh negara yang sebelum ini dicetuskan bagi menuntut peletakan jawatan presiden berhaluan tengah-kanan itu.

“Mulai sekarang, semua tindakan tekanan dihentikan di seluruh negara. Dialog adalah lebih kuat daripada kekerasan itu sendiri,” kata Pemimpin Kesatuan Pekerja Bolivia (COB), Mario Argollo dan Presiden Paz dalam satu kenyataan bersama selepas memeterai perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai pengisian serta terma perjanjian tersebut tidak didedahkan kepada umum buat masa ini.

Gerakan protes yang bermula sejak awal Mei lalu menyaksikan COB bertindak menutup laluan-laluan logistik utama sehingga menyekat kemasukan bekalan ke bandar-bandar besar di Bolivia.

Meskipun sekatan mula dilonggarkan sejak Isnin lalu, negara Amerika Latin yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh empat dekad itu masih lumpuh akibat kekurangan kritikal bekalan bahan api, makanan, ubat-ubatan, dan barangan keperluan asas.

Protes itu tercetus selepas rakyat Bolivia membantah pelaksanaan reformasi ekonomi tajaan AS oleh pentadbiran Paz, yang bertujuan menghapuskan dasar-dasar pemerintahan kerajaan sosialis yang telah bertapak selama 20 tahun sebelum ini.

Kesan daripada mogok berkenaan, harga barangan segar seperti daging dan sayur-sayuran di pasaran melambung tinggi sehingga dua kali ganda daripada harga biasa.

Manakala orang ramai dilaporkan terpaksa tidur di dalam kereta selama berhari-hari demi menunggu giliran di stesen minyak.

Di ibu negara La Paz, barisan panjang yang menjangkau sehingga tiga blok dilaporkan berlaku di luar pasar raya milik kerajaan selepas orang ramai berpusu-pusu bagi mendapatkan bekalan ayam yang dijual pada harga murah.

Pihak berkuasa tempatan menjangka beberapa sektor kecil berkemungkinan akan meneruskan protes secara terpencil memandangkan perjanjian terbaharu itu tidak merangkumi tuntutan keseluruhan kumpulan yang terlibat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.