Kereta lembu jadi pengangkutan agih bantuan taufan di Cuba

Foto AFP

HONGOLOSONGO, 20 Jun – Krisis kekurangan bahan api yang meruncing di Cuba memaksa sukarelawan menggunakan kereta lembu bagi mengagihkan paket bantuan kemanusiaan daripada Amerika Syarikat (AS) kepada mangsa Taufan Melissa yang terputus bekalan asas sejak tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Caritas menghadapi kesukaran pengagihan akibat sekatan bahan api ketat oleh Washington yang melumpuhkan sistem pengangkutan di timur Santiago de Cuba.
  • Mangsa seperti Teodardo, pesakit amputasi, terpaksa bergantung pada basikal ubah suai untuk membawa pulang beras, kacang, minyak, makanan tin dan produk kebersihan.
  • Agensi antarabangsa, China, Venezuela, Mexico dan AS menyalurkan bantuan; Washington tawarkan tambahan US$100 juta, namun Presiden Diaz-Canel mahu sekatan perdagangan ditarik balik.

Agihan bantuan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Katolik, Caritas, dilaporkan berdepan kesukaran berikutan sekatan bahan api yang ketat oleh Washington, sekali gus melumpuhkan sistem pengangkutan utama di wilayah timur Santiago de Cuba.

“Ia agak sukar bagi kami kerana kami terpaksa mencari kenderaan, mendapatkan bahan api, dan melihat siapa yang boleh memberikan tumpangan.

“Apabila petrol dan diesel kehabisan, kami terpaksa menggunakan kereta lembu,” kata Ketua Caritas di El Cobre, Katia Simon.

Antara penerima manfaat ialah Teodardo Debardet, seorang mangsa amputasi kedua-dua belah kaki yang terpaksa menolak basikal ubah suai sebagai kerusi roda untuk membawa pulang paket bantuan mengandungi beras, kacang, minyak, makanan dalam tin, serta produk kebersihan.

Rumah Debardet di luar bandar El Cobre merupakan antara ribuan kediaman yang musnah selepas bumbung dan bilik airnya diterbangkan badai taufan tersebut pada Oktober 2025.

Di komuniti luar bandar yang dihuni lebih 130 penduduk itu, kekangan pascataufan masih ketara apabila kurang daripada separuh rumah mempunyai bekalan elektrik, manakala majoriti penduduk belum mampu membaiki bumbung rumah mereka serta terputus kemudahan air paip.

Selain bantuan barangan keperluan asas, sukarelawan Caritas turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan khidmat menggunting rambut kepada mangsa yang terjejas.

Seorang penerima bantuan berusia 63 tahun, Osmany Vedey, mengucapkan rasa syukur dan menyatakan penduduk tempatan sedia menerima bantuan tersebut daripada mana-mana pihak demi kelangsungan hidup.

Selain AS, agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), serta negara-negara seperti China, Venezuela, dan Mexico turut menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Cuba.

Washington dilaporkan telah menawarkan peruntukan tambahan sebanyak AS$100 juta sebagai komitmen bantuan kepada Cuba, selain daripada jutaan dolar yang telah dihantar sebelum ini.

Bagaimanapun, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, menegaskan bahawa langkah terbaik yang sepatutnya diambil oleh AS adalah dengan menarik balik sekatan perdagangan yang telah dikenakan ke atas negara itu selama lebih enam dekad, yang disifatkannya jauh lebih membantu berbanding sekadar menghantar sumbangan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.