Rusia berjaya uji peluru berpandu Burevestnik berkuasa nuklear

MOSCOW, 26 Oktober – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan negaranya telah berjaya menguji peluru berpandu jelajah Burevestnik berkuasa nuklear, yang didakwa mampu mengelak sebarang sistem pertahanan dan memiliki jarak jangkauan hampir tanpa had.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rusia mengumumkan kejayaan ujian peluru berpandu jelajah Burevestnik berkekuatan nuklear.
  • 9M730 Burevestnik (SSC-X-9 Skyfall) dilaporkan terbang 14,000 km dalam 15 jam semasa ujian.
  • Peluru berpandu dikatakan beroperasi sepenuhnya dengan kuasa nuklear dan boleh mengatasi sistem pertahanan.
  • Putin panggil senjata itu unik, tiada tandingan, dan perintahkan penyediaan infrastruktur penempatan.
  • Rusia menegaskan tahap kesiapsiagaan nuklearnya tinggi, sebahagian daripada dominasi global senjata nuklear.

Menurut Ketua Turus Angkatan Tentera Rusia, Jeneral Valery Gerasimov, peluru berpandu 9M730 Burevestnik, digelar SSC-X-9 Skyfall oleh NATO telah terbang sejauh 14,000 kilometer selama 15 jam ketika diuji pada 21 Oktober lalu.

Putin menyifatkan senjata itu sebagai “unik dan tiada tandingan di dunia”, serta menegaskan ujian penting terhadap sistem tersebut telah selesai. Beliau turut mengarahkan penyediaan infrastruktur bagi penempatan peluru berpandu berkenaan.

Gerasimov menjelaskan peluru berpandu itu beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa nuklear dan berupaya menewaskan mana-mana sistem pertahanan peluru berpandu musuh.

Putin sebelum ini turut menyelia ujian kekuatan strategik nuklear Rusia melibatkan darat, laut dan udara, sambil menegaskan tahap kesiapsiagaan nuklear negara itu kini “paling tinggi berbanding mana-mana kuasa nuklear lain”.

Rusia dan Amerika Syarikat kini menguasai kira-kira 87 peratus senjata nuklear dunia, dengan Rusia memiliki 5,459 kepala peledak nuklear, manakala Amerika Syarikat 5,177, menurut Persekutuan Saintis Amerika (FAS). -REUTERS