
ALEPPO, 11 Januari – Pihak berkuasa Syria pada Sabtu mula memindahkan pejuang Kurdi dari bandar kedua terbesar negara itu, Aleppo, ke kawasan yang dikuasai mereka di timur laut Syria, menurut laporan televisyen rasmi.
- Pihak berkuasa Syria memindahkan pejuang Kurdish dari daerah Sheikh Maqsud ke Tabaqa di timur laut Syria.
- Pemindahan berlaku selepas pertempuran maut dan usaha integrasi pentadbiran autonomi Kurdish tergendala.
- Kereta kebal dan bas digunakan, dengan panggilan diplomatik untuk kembali kepada dialog antara pihak bertikai.
Pemindahan itu berlaku beberapa hari selepas tercetusnya pertempuran maut apabila usaha untuk mengintegrasikan pentadbiran autonomi dan pasukan tentera Kurdish ke dalam kerajaan baru Syria tergendala.
Sekurang-kurangnya 21 orang awam dilaporkan maut pada pertempuran sejak Selasa lalu.
Manakala Gabenor Aleppo menyatakan lebih 155,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan pertempuran.
Pada Sabtu malam, televisyen rasmi melaporkan bahawa pejuang Kurdi yang menyerahkan diri dipindahkan dengan bas ke bandar Tabaqa” di timur laut Syria yang dikuasai Kurdi.
Seorang wartawan AFP melihat sekurang-kurangnya lima buah bas membawa pejuang meninggalkan daerah majoriti Kurdish Sheikh Maqsud, disertai oleh pasukan keselamatan.
Pemindahan berkenaan berlaku selepas duta Amerika Syarikat, Tom Barrack, bertemu Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, dan menggesa “kembali kepada dialog” dengan pihak Kurdi mengikut perjanjian integrasi yang dimeterai tahun lalu.
Dalam kenyataan kepada agensi berita rasmi SANA, tentera Syria pada Sabtu mengumumkan “pemberhentian semua operasi ketenteraan di kawasan Sheikh Maqsud”.
Salah seorang sumber keselamatan Syria memberitahu AFP bahawa pejuang Kurdi terakhir bersembunyi di kawasan hospital al-Razi di Sheikh Maqsud sebelum dipindahkan oleh pihak berkuasa.
Pertempuran tersebut merupakan antara yang paling sengit sejak pihak berkuasa Islamis baharu mengambil alih kuasa, selepas pemecatan pemimpin lama, Bashar al-Assad, pada Disember 2024.
Kedua-dua pihak saling menuding jari sebagai punca tercetusnya keganasan di Aleppo. – AFP