Penyokong Maduro anjur protes besar-besaran

Seorang lelaki berjalan melepasi sebuah dinding pejalan kaki yang tertera ayat ‘bebaskan Maduro di ibu negara, Caracas,Venezuela/ AFP

CARACAS, 11 Januari – Para penyokong bekas presiden Venezuela, Nicolas Maduro, bersiap sedia mengadakan protes besar-besaran pada Sabtu seminggu selepas beliau ditahan dalam satu operasi oleh Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes besar-besaran penyokong pro-Maduro dijadual pada pukul 5 petang untuk menentang campur tangan Amerika Syarikat.
  • Penahanan Maduro mencetuskan kemarahan, perhimpunan jalanan dan menggoncang landskap politik Venezuela.
  • Keluarga tahanan politik berkumpul di luar Penjara El Rodeo menunggu pembebasan yang dijanjikan.
  • Amerika Syarikat meningkatkan tekanan, rundingan dengan kerajaan interim termasuk akses minyak dan rampasan kapal minyak.

Protes yang dijadualkan digerakkan oleh kumpulan pro-Maduro “Chavista” dan bakal berlangsung pada pukul 5 petang (waktu tempatan)sebagai tanda penentangan terhadap campur tangan Washington.

Perhimpunan itu mengakhiri seminggu kemarahan rakyat susulan serangan udara Amerika Syarikat di Caracas dan tindakan membawa Maduro ke New York untuk menghadapi pertuduhan pengedaran dadah bersama isterinya, Cilia Flores.

Penahanan Maduro pada 3 Januari lalu bukan sahaja mencetuskan protes jalanan, malah menggoncang landskap politik negara itu.

Penyokongnya menuduh Amerika Syarikat menceroboh kedaulatan Venezuela, manakala kerajaan sementara yang dilantik berusaha mengimbangi tekanan dalaman dan tuntutan Washington.

Dalam masa sama, keluarga tahanan politik mula berkumpul di luar penjara sejak Khamis lalu, menunggu pembebasan yang dijanjikan sebagai sebahagian usaha meredakan ketegangan.

Ramai waris bermalam di luar Penjara El Rodeo, termasuk Nebraska Rivas, 57 tahun, yang menanti pembebasan anaknya.

Beliau berkata sudah dua malam tidur di kaki lima dan berasa penat serta kecewa, namun tetap berharap pembebasan akan berlaku.

Rivas menyatakan bahawa perjuangannya selama tujuh tahun kini seolah-olah berada di penghujung, tetapi menambah bahawa ketiadaan perkembangan baharu nyata sangat mengecewakan.

Di sebalik ketegangan yang berlaku, tanda-tanda hubungan baharu antara Caracas dan Washington mula muncul. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa beliau kini “menguasai” Venezuela dan kerajaan interim telah memulakan rundingan dengan Amerika Syarikat untuk memulihkan hubungan diplomatik yang terputus sejak 2019.

Pegawai Amerika Syarikat turut diberitakan telah mengunjungi Caracas bagi membincangkan pembukaan semula Kedutaan Amerika Syarikat.

Delcy Rodriguez berkata kerajaan interim bersedia bekerjasama berhubung permintaan Washington untuk akses kepada rizab minyak Venezuela, namun menegaskan Venezuela tidak tunduk kepada Amerika Syarikat.

Langkah berhati-hati itu dilihat sebagai percubaan mengekalkan sokongan penyokong tegar Maduro yang menentang dominasi asing.

Trump turut mengesahkan beliau akan bertemu pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, minggu depan, meskipun sebelum ini mempertikaikan kemampuannya memimpin negara.

Namun begitu, beliau menegaskan Amerika Syarikat buat masa ini lebih cenderung berurusan dengan kerajaan interim dalam usaha mendapatkan akses kepada puluhan juta tong minyak Venezuela.

Trump turut mendedahkan beliau membatalkan gelombang kedua serangan terhadap Venezuela selepas kerajaan interim membebaskan beberapa tahanan politik.

Dalam satu mesyuarat di White House, Trump menggesa syarikat minyak Amerika Syarikat untuk melabur di Venezuela, tetapi cadangan itu disambut dingin.

Ketua Pegawai Eksekutif ExxonMobil, Darren Woods, menolak usaha tersebut dengan menyifatkan Venezuela sebagai negara yang “tidak sesuai dilaburkan” tanpa reformasi besar-besaran.

Pakar ekonomi pula menilai infrastruktur minyak Venezuela telah lama merosot akibat salah urus dan sekatan antarabangsa.

Trump menegaskan sebarang urusan minyak selepas ini akan dibuat hanya melalui Washington, bukan Caracas.

Amerika Syarikat kini meningkatkan tekanan dengan merampas kapal kelima yang membawa minyak Venezuela di Caribbean pada Jumaat.

Syarikat minyak Venezuela, PDVSA mengesahkan sebuah kapal telah kembali ke perairan Venezuela dan menyifatkan perkembangan itu sebagai “operasi bersama pertama yang berjaya” dengan Washington. – AFP