
BAITULMAQDIS, 23 Julai – Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) menolak dakwaan tentera Israel bahawa 12 individu dalam komuniti bola sepak Gaza yang terbunuh sepanjang perang di wilayah itu merupakan anggota Hamas dan Jihad Islam Palestin.
- Pegawai PFA menuduh Israel cuba menutup pembunuhan pemain, jurulatih, pengadil dan pentadbir bola sepak dengan dakwaan tidak berasas.
- Kebanyakan mangsa dinamakan terbunuh dalam serangan udara atau operasi tentera ketika berada di rumah atau khemah perlindungan.
- Tentera Israel mendakwa 12 individu itu termasuk pengadil bantuan berdaftar FIFA, dan dua dipercayai terbabit serangan 7 Oktober.
- AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan Israel secara bebas; Hamas dan Jihad Islam belum mengeluarkan kenyataan.
Seorang pegawai PFA di Gaza yang enggan dikenali atas faktor keselamatan berkata, Israel cuba menutup pembunuhan pemain, jurulatih, pengadil dan pentadbir bola sepak dengan mengemukakan tuduhan yang disifatkan tidak berasas.
Beliau berkata, kebanyakan individu yang dinamakan terbunuh dalam serangan udara dan operasi ketenteraan Israel ketika berada di rumah atau khemah perlindungan, malah sebahagiannya terkorban bersama ahli keluarga mereka.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa 12 individu berkenaan, termasuk pengadil bantuan antarabangsa berdaftar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Mohammed Sami Mohammed Khattab, merupakan anggota Hamas dan Jihad Islam Palestin.
Tentera Israel turut mendakwa sekurang-kurangnya dua daripada mereka terbabit dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tentera Israel itu, manakala Hamas dan Jihad Islam Palestin belum mengeluarkan sebarang kenyataan.-AFP