
HEBRON, 16 April – Puluhan kanak-kanak Palestin tidak dapat ke sekolah minggu ini selepas laluan biasa dilalui mereka di Tebing Barat yang diduduki Israel, dihalang dengan dawai berduri.
- Penduduk kampung mendakwa dawai berduri dipasang penduduk penempatan Carmel, menyekat laluan selamat kanak-kanak.
- Kumpulan hak asasi Israel berkata pemasangan itu sebahagian kempen terancang, mungkin dianggap sebagai pembersihan etnik.
- Penduduk mendakwa tentera melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan beberapa kanak-kanak mengalami kesukaran bernafas dan hampir lemas.
- Penduduk buat aduan melalui pejabat bersama Israel-Palestin tetapi dawai masih belum dialihkan; sekatan jalan dan penempatan meningkat sejak 7 Oktober 2023.
Ia didakwa dipasang oleh penduduk penempatan Yahudi.
Kejadian itu berlaku di kampung kecil Umm al-Khair berhampiran bandar Hebron, apabila kanak-kanak cuba kembali ke sekolah pada Isnin buat pertama kali sejak konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran tercetus.
Namun, laluan mereka disekat oleh dawai berduri yang menurut penduduk tempatan dipasang oleh penduduk Israel dari penempatan Carmel berhampiran.
Ketua majlis kampung Umm al-Khair, Khalil Hathaleen berkata, halangan itu menyekat kanak-kanak dari kawasan pinggir kampung menggunakan laluan selamat melalui lembah untuk ke sekolah.
Beliau berkata tanpa laluan tersebut, kanak-kanak terpaksa menggunakan jalan lain yang disifatkan berbahaya kerana lebih hampir dengan kawasan penempatan.
Kumpulan hak asasi manusia Israel mendakwa, pemasangan dawai berduri itu adalah sebahagian daripada kempen terancang oleh penduduk penempatan dan tentera Israel untuk menakutkan penduduk Palestin serta memaksa mereka meninggalkan tanah di Tebing Barat, yang menurutnya boleh dianggap sebagai “pembersihan etnik”.
Penduduk turut mendakwa tentera Israel kemudian melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan beberapa kanak-kanak mengalami kesukaran bernafas, malah ada yang dilaporkan hampir lemas.
Sesi persekolahan sebelum ini digantung pada awal konflik Iran, apabila serpihan peluru berpandu Iran yang dipintas Israel kadangkala jatuh di Tebing Barat.
Penduduk Palestin tempatan berkata mereka telah mengemukakan aduan melalui pejabat bersama Israel-Palestin berhubung pemasangan dawai berduri tersebut, namun ia masih belum dialihkan.
Sejak serangan pada 7 Oktober 2023 oleh kumpulan Hamas dari Gaza yang mencetuskan perang Gaza, sekatan pergerakan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat dilaporkan semakin meningkat.
Tentera Israel telah mendirikan puluhan sekatan jalan raya baharu serta halangan tetap dan sementara di seluruh Tebing Barat.
Dianggarkan kira-kira 700,000 penduduk penempatan Yahudi tinggal di Tebing Barat bersama sekitar 2.7 juta rakyat Palestin.
Perluasan penempatan Yahudi di wilayah itu turut meningkat di bawah kerajaan semasa Israel, dengan beberapa pemimpin kanan secara terbuka menyokong pengilhakan Tebing Barat.
Penempatan Israel di Tebing Barat dianggap tidak sah oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta sebahagian besar masyarakat antarabangsa, manakala rakyat Palestin berharap wilayah itu akan menjadi sebahagian daripada negara masa depan mereka. – REUTERS