Palestin hargai ketegasan Malaysia halang laluan transit ke Israel

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos Kedutaan Palestin di Malaysia memuji dan menghargai penegasan terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia tidak akan membenarkan wilayahnya digunakan sebagai laluan transit bagi perdagangan yang menuju ke Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendirian Malaysia selaras dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip PBB serta menyokong hak nasional rakyat Palestin.
  • Malaysia konsisten memberi sokongan melalui dasar politik, diplomasi, advokasi antarabangsa, bantuan kemanusiaan dan tindakan praktikal.
  • Pendirian berprinsip Malaysia dihargai ketika Israel meneruskan keganasan, perluasan penempatan dan tindakan agresif di Gaza dan Tebing Barat.
  • Palestin menghargai seruan Malaysia untuk akhiri pendudukan dan sokong negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967.

Dalam satu kenyataan, kedutaan berkata Palestin melihat pendirian berkenaan sebagai satu lagi bukti sokongan berterusan Malaysia terhadap rakyat Palestin dan hak nasional mereka yang sah, selain komitmen negara terhadap keadilan, undang-undang antarabangsa serta prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Bagi Palestin, pendirian Malaysia ini bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Malaysia secara konsisten menunjukkan komitmennya terhadap perjuangan Palestin menerusi pendirian politik dan diplomatik, advokasi di forum antarabangsa, bantuan kemanusiaan serta tindakan praktikal.

“Penegasan terbaharu ini sejajar dengan dasar Malaysia yang jelas dan konsisten terhadap Palestin,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Kedutaan berkata pendirian berprinsip Malaysia membawa “makna yang amat besar” ketika Israel meneruskan apa yang disifatkannya sebagai “tindakan agresif bersifat genosid” di Semenanjung Gaza, peluasan penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur serta peningkatan keganasan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin.

“Rakyat Palestin amat menghargai solidariti Malaysia serta sokongan konsisten terhadap hak nasional mereka yang sah,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu berkata Palestin amat menghargai pendirian Malaysia yang menggesa penamatan pendudukan Israel, menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta merealisasikan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB berkaitan.

Palestin turut menghargai hubungan persaudaraan serta ikatan solidariti antara rakyat Palestin dan Malaysia, selain merakamkan penghargaan kepada kepimpinan, kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan berterusan sambil berharap hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara dapat diperkukuh.

Anwar menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa barangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor pada Jumaat.

Beliau berkata tindakan itu membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara ini tidak menjadi laluan transit bagi perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.