Lebih 20,000 pesakit Gaza terkandas, rayu pemindahan segera

Foto Reuters

GAZA, 9 Ogos – Lebih 20,000 pesakit yang telah mendapat kelulusan untuk menerima rawatan di luar Gaza masih terkandas akibat sekatan ketat di sempadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesakit dan keluarga merayu masyarakat antarabangsa mendesak pemindahan perubatan segera bagi mengelakkan lebih banyak kematian yang boleh dicegah.
  • Pesakit kritikal, termasuk kanser dan kegagalan buah pinggang, dilaporkan meninggal dunia ketika menunggu kebenaran keluar mendapatkan rawatan.
  • Sekatan ketat di lintasan Rafah dan Kerem Shalom mengehadkan pergerakan pesakit, sementara infrastruktur perubatan runtuh dan hospital tidak mampu berikan rawatan kompleks.

Pesakit dan anggota keluarga mereka merayu masyarakat antarabangsa supaya menggesa proses pemindahan bagi tujuan perubatan segera dilaksanakan.

Langkah tersebut penting bagi mengelak lebih banyak kematian akibat penyakit yang sebenarnya boleh dirawat.

Seorang bapa kepada pesakit berkata anaknya memerlukan pemindahan kornea, selain mengalami katarak yang semakin serius.

“Saya tidak mampu merawat anak saya tetapi saya perlu memastikan dia mendapat rawatan itu.

“Keadaannya semakin teruk dan penglihatannya boleh rosak,” katanya.

Seorang pesakit mendakwa terdapat pesakit kritikal termasuk kanser dan kegagalan buah pinggang meninggal dunia ketika menunggu kebenaran untuk keluar mendapatkan rawatan.

“Kami, seperti orang lain, hanya mahu pergi mendapatkan rawatan. Itu sahaja yang kami mahu.

“Jumlah pesakit semakin meningkat. Benarkan mereka keluar untuk mendapatkan rawatan. Selamatkan kami. Rawat mereka yang cedera di Gaza. Selamatkan mangsa yang cedera di Gaza,” katanya.

Sekatan perjalanan ketat di lintasan Rafah dan Kerem Shalom terus mengehadkan pergerakan pesakit yang memerlukan rawatan di luar wilayah itu.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan memberi amaran bahawa infrastruktur perubatan di Gaza telah runtuh akibat operasi ketenteraan berterusan tentera Zionis Israel serta kekurangan bekalan kritikal.

Keadaan itu menyebabkan hospital yang masih beroperasi secara terhad tidak lagi mampu menyediakan rawatan kompleks kepada pesakit. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.