Iran, Oman hampir capai persetujuan laluan perkapalan sementara

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi (kiri) / Foto Reuters

TEHRAN, 9 Ogos – Iran dan Oman hampir mencapai persetujuan mengenai pembentukan laluan perkapalan sementara, namun langkah itu tidak bermakna Selat Hormuz akan dibuka semula.

RINGKASAN BERITA AI
  • Araghchi menuntut AS memberi pampasan atas pelanggaran MoU dan menyatakan Washington bertanggungjawab terhadap keadaan semasa.
  • Jurucakap IRGC menegaskan pembukaan semula hanya berdasarkan mekanisme dan syarat khusus Iran, bukan berkaitan rundingan Iran dan Oman.
  • SNSC menggariskan enam syarat termasuk hentikan tindakan agresif, tamatkan sekatan laut terhadap Iran dan pengunduran tentera AS.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, pembukaan semula selat berkenaan tertakluk kepada syarat lain yang ditetapkan Tehran.

Araghchi turut menuntut Amerika Syarikat (AS) memberi pampasan atas pelanggaran memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

“Saya boleh nyatakan dengan terus terang bahawa keadaan yang berlaku ketika ini adalah akibat tindakan AS melanggar MoU tersebut,” katanya.

Beliau mendakwa Washington berulang kali mengabaikan amaran Tehran dan cuba mewujudkan laluan alternatif melalui Selat Hormuz bagi melemahkan pengurusan Iran terhadap laluan perairan itu.

Menurutnya, campur tangan AS dalam pengurusan Iran terhadap selat berkenaan tidak boleh diterima.

Dalam perkembangan sama, jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Hossein Mohebbi berkata, sebarang pembukaan semula Selat Hormuz akan dibuat berdasarkan mekanisme dan syarat khusus Iran.

Beliau menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan rundingan antara Iran dan Oman.

Menurut Mohebbi, selat berkenaan hanya akan dibuka semula selepas AS menerima sepenuhnya syarat Iran serta menghentikan campur tangan dalam rundingan serantau.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran (SNSC), Mohammad Bagher Zolghadr menggariskan enam syarat yang perlu dipenuhi bagi membuka semula Selat Hormuz.

Antara syarat itu termasuklah penghentian kekal tindakan agresif terhadap Iran dan sekutunya di rantau itu, penamatan sekatan laut terhadap Iran serta pengunduran tentera AS dari kawasan sekitar Iran. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.