Menteri Luar Denmark, Greenland adakan pertemuan dengan JD Vance

Vivian Motzfeldt dan Lars Loekke Rasmussen (kanan)/ REUTERS

WASHINGTON, 15 Januari – Menteri Luar Denmark Lars Loekke Rasmussen dan Menteri Luar Greenland Vivian Motzfeldt bertemu dengan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, di White House pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan menumpu pada memastikan keselamatan jangka panjang Greenland walaupun perspektif AS dan Denmark berbeza.
  • Greenland mahu kukuhkan kerjasama dengan AS tetapi menolak sebarang idea pemilikan oleh Amerika Syarikat.
  • AS masih berpegang pada hasrat menguasai Greenland, menimbulkan ketegangan geopolitik antara Copenhagen dan Washington.

Pertemuan itu bagi perbincangan berisiko tinggi berhubung tuntutan Presiden AS Donald Trump supaya Washington mengawal Greenland, wilayah autonomi milik Denmark.

Rasmussen, berkata perbincangan itu menumpukan kepada cara memastikan keselamatan jangka panjang Greenland, tetapi perspektif kedua-dua negara masih berbeza.

“Perbincangan ini boleh saya sifatkan sebagai terus-terang tetapi juga konstruktif. Fokusnya ialah bagaimana memastikan keselamatan jangka panjang di Greenland, dan di sini pandangan kita masih berbeza,” katanya.

Sementara itu, Vivian pula menegaskan bahawa mereka ingin mengukuhkan kerjasama dengan Amerika Syarikat tetapi Greenland tidak mahu dimiliki AS.

Mesyuarat pada Rabu antara pegawai tinggi AS dengan kedua-dua menteri luar itu dilihat gagal meredakan ambisi Trump untuk mengambil alih Greenland, sekali gus menimbulkan kemungkinan ketegangan geopolitik yang berpanjangan antara Copenhagen dan Washington.

Rasmussen berkata bahawa AS dan Denmark akan menubuhkan kumpulan kerja untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan wilayah luar negara milik Denmark itu. Namun, beliau menegaskan Washington masih berpegang pada pendirian bahawa ia mesti memperoleh Greenland, yang dianggap sebagai pencabulan kedaulatan yang tidak boleh diterima Denmark dan Greenland.

“Kita tidak berjaya mengubah pendirian Amerika. Adalah jelas bahawa presiden mempunyai hasrat untuk menakluk Greenland,” kata Rasmussen kepada pemberita di luar kedutaan Denmark di sini selepas mesyuarat berakhir.

Trump beberapa kali menyatakan dalam minggu-minggu kebelakangan ini bahawa pulau yang kaya mineral dan strategik itu amat penting bagi keselamatan Amerika Syarikat, dan negara itu perlu memilikinya bagi menghalang Rusia atau China daripada menawannya.

Beliau menegaskan semua pilihan terbuka bagi mengawal wilayah tersebut namun kenyataan itu turut menimbulkan kekecohan dalam pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).- REUTERS