Pemimpin ASEAN gesa laluan selamat di Selat Hormuz

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr/ BERNAMA

CEBU, 8 Mei – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr memberi amaran mengenai peningkatan risiko ekonomi dan keselamatan yang dihadapi Asia Tenggara, susulan ketegangan yang semakin meruncing di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gesaan menghentikan permusuhan serta menyelesaikan pertikaian secara aman dan meningkatkan perlindungan kepada orang awam dan infrastruktur.
  • Tuntutan memulihkan laluan selamat dan tanpa halangan di Selat Hormuz untuk keselamatan maritim dan kestabilan bekalan tenaga.
  • Perlu penyelarasan serantau lebih kukuh bagi keselamatan tenaga, menstabilkan bekalan, mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu.

Ketika berucap di hadapan pemimpin ASEAN, Marcos menggesa agar persengketaan dihentikan segera, pertikaian diselesaikan secara aman, serta perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur dipertingkat.

“ASEAN menyatakan kebimbangan serius terhadap peningkatan konflik akibat serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Republik Islam Iran pada 28 Februari lalu, dan serangan balas berikutnya oleh Iran terhadap beberapa negara di rantau ini”, katanya ketika berucap pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina.

Beliau turut menyeru usaha memulihkan laluan yang selamat dan tanpa halangan di Selat Hormuz.

Beliau menekankan keperluan penyelarasan serantau yang lebih kukuh bagi memperkukuh keselamatan tenaga, menstabilkan bekalan serta mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu.

Katanya, konflik di Selat Hormuz telah menyebabkan kenaikan harga baja dan makanan, sekali gus menuntut tindakan bersama bagi melindungi rantaian bekalan serantau.

Terdahulu pada Jumaat, puluhan aktivis mengadakan protes dan menggesa pemimpin Asia Tenggara supaya mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, yang didakwa menjadi antara punca konflik di Asia Barat serta memberi kesan buruk kepada alam sekitar.-REUTERS