
WASHINGTON, 10 April – Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Melania Trump menafikan sebarang kaitan dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein yang meninggal pada tahun 2019.
- Melania menegaskan dakwaan kaitan dengannya tidak berasas; dia bukan mangsa dan tidak pernah berada di pesawat atau pulau Epstein.
- Beliau menggesa Kongres mengadakan pendengaran awam supaya mangsa Epstein dapat memberi keterangan secara bersumpah.
- Dua individu, Maria dan Annie Farmer, menyeru ketelusan dan pendedahan penuh rekod kes; kes Epstein masih menarik perhatian umum.
Penafian itu termasuk dakwaan beliau pernah menjadi mangsa Eipstein.
Melania yang jarang membuat kenyataan terbuka di White House mendedahkan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan Epstein adalah tidak benar dan perlu dihentikan.
“Dakwaan yang mengaitkan saya dengan Jeffrey Epstein adalah tidak berasas. Individu yang menyebarkan perkara ini tidak mempunyai etika dan rasa hormat,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak pernah mengetahui sebarang perbuatan salah Epstein, selain tidak pernah terlibat atau mempunyai hubungan dengan aktiviti jenayah yang dikaitkan dengan individu tersebut.
“Saya bukan mangsa Epstein. Saya juga tidak pernah berada di pesawat atau pulau miliknya, dan tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan,” katanya.
Melania menjelaskan beliau mengenali Presiden Donald Trump secara berasingan, sebelum mengenali Epstein.
Dalam pada itu, beliau menggesa Kongres Amerika Syarikat mengadakan pendengaran awam bagi memberi peluang kepada mangsa Epstein tampil memberi keterangan secara bersumpah.
Sementara itu, dua individu yang mendakwa sebagai mangsa Epstein, Maria dan Annie Farmer, menyatakan keperluan kepada ketelusan dan keadilan, termasuk pendedahan penuh rekod berkaitan kes tersebut.
Kes Epstein terus mendapat perhatian umum meskipun beliau meninggal dunia dalam tahanan persekutuan ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks melibatkan bawah umur. – AFP