Lelaki bersenjatakan pedang serang sekolah di Sweden, dua pelajar parah

Sebuah sekolah menengah di Fagersta, Sweden diserang lelaki bersenjatakan pedang / Foto AFP

FAGERSTA, 22 Ogos – Dua pelajar cedera parah selepas seorang lelaki bersenjatakan pedang menyerang sebuah sekolah menengah di Fagersta, Sweden pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang mangsa menjalani pembedahan kecemasan dan kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
  • Serangan berlaku kira-kira pukul 2 petang di Brinellskolan, sebuah sekolah menengah dengan hampir 500 pelajar.
  • Majlis Perbandaran mengesahkan suspek bersenjatakan pedang memasuki sekolah dan mencederakan beberapa individu sebelum ditahan.
  • Suspek dipercayai berusia 18 tahun, bekas pelajar dengan sabitan serangan; identiti dan motif masih dalam siasatan.

Pengarah Kesihatan Wilayah, Jonas Cederberg memaklumkan, salah seorang mangsa telah menjalani pembedahan kecemasan dan kedua-duanya berada dalam keadaan stabil.

“Seorang lagi mangsa turut dilaporkan cedera, namun tahap kecederaannya masih belum dapat dipastikan ketika dikejarkan ke hospital,” katanya menerusi kenyataan.

Serangan berlaku kira-kira pukul 2 petang di sebuah sekolah menengah yang mempunyai hampir 500 pelajar di Brinellskolan di wilayah Fagersta, sebaik sahaja pelajar kembali bersekolah selepas cuti musim panas.

Majlis Perbandaran Fagersta mengesahkan seorang lelaki bersenjatakan pedang memasuki sekolah itu dan mencederakan beberapa individu, sebelum ditahan.

Media Sweden melaporkan, suspek dipercayai ditembak di kaki oleh polis, bagaimanapun, pihak berkuasa belum mengesahkan perkara tersebut.

Pihak polis mendedahkan, suspek dipercayai berusia 18 tahun yang merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan selain mempunyai rekod sabitan serangan.

Maklumat terperinci mengenai identiti suspek dan motif serangan masih dalam siasatan.

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan dan meminta orang ramai memberi ruang kepada polis serta pasukan penyelamat untuk menjalankan tugas. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.