Wabak Ebola : Satu kematian setiap 30 minit dalam tempoh beberapa hari

Foto fail REUTERS

KINSHASA, 22 Ogos – Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) merebak pada kadar yang lebih pantas daripada keupayaan respons kesihatan menanganinya, dengan lebih 5,200 kes disahkan dan kira-kira 2,400 kematian dilaporkan setakat 18 Ogos.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSF melaporkan kira-kira seorang maut setiap 30 minit dalam beberapa hari; jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana kes tidak dikesan.
  • 62 peratus kematian berlaku di luar pusat rawatan, termasuk di rumah atau komuniti apabila pesakit tidak mendapat rawatan khusus.
  • Perlu tindak balas lebih pantas, fleksibel dan berakar umbi dalam komuniti untuk mengesan kes awal serta memutuskan rantaian penularan.
  • 70,000 dos vaksin Ervebo diperuntukkan tetapi belum terbukti melindungi terhadap virus Bundibugyo; ujian klinikal diperlukan.

Amaran itu dikeluarkan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan wabak penyakit virus Ebola jenis Bundibugyo itu sebagai antara wabak paling pantas merebak pernah direkodkan.

WHO pada 18 Ogos memaklumkan, hampir 5,000 orang telah dijangkiti dan lebih 2,300 meninggal dunia di enam wilayah serta 55 zon kesihatan, dengan wabak turut dipacu konflik, perpindahan penduduk dan pergerakan manusia yang tinggi.

MSF pula mendedahkan, kira-kira seorang maut akibat Ebola setiap 30 minit dalam beberapa hari kebelakangan ini, sambil memberi amaran jumlah sebenar mungkin lebih tinggi berikutan kes yang tidak dikesan.

Koordinator Perubatan MSF, Dr Eddy Kambale berkata, 62 peratus kematian berkaitan Ebola berlaku di luar pusat rawatan, termasuk di rumah atau komuniti apabila pesakit tidak mendapat rawatan khusus.

“Kita kini memerlukan tindak balas yang lebih pantas dan fleksibel serta lebih berakar umbi dalam komuniti bagi mengesan kes lebih awal, memutuskan rantaian penularan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lalu selepas dikesan di wilayah Ituri, yang kekal sebagai pusat penularan. Ia kemudian merebak ke enam wilayah, termasuk North Kivu, South Kivu, Haut-Uélé, Tshopo dan Bas-Uélé.

WHO menyifatkannya sebagai wabak Ebola terbesar pernah direkodkan di DRC.

Dalam perkembangan berkaitan usaha membendung wabak, sebanyak 70,000 dos vaksin Ervebo diperuntukkan kepada DRC, bagaimanapun, WHO menegaskan Ervebo belum terbukti melindungi manusia daripada virus Bundibugyo.

Vaksin itu dilesenkan untuk mencegah penyakit Ebola yang disebabkan virus Zaire, bukan virus Bundibugyo, dan ujian klinikal diperlukan untuk mendapatkan bukti keberkesanannya.

Pihak berkuasa DRC bersama WHO, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) serta rakan antarabangsa kini memperluas pengesanan kes berasaskan komuniti, kapasiti rawatan, pengesanan kontak dan usaha mendapatkan kepercayaan penduduk bagi memutuskan rantaian penularan. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.