Serangan bersenjatakan pedang di sekolah Sweden: Seorang mangsa ditemukan maut

Lelaki bersenjatakan pedang menyerang sebuah sekolah menengah di Fagersta / Foto REUTERS

FAGERSTA, 22 Ogos – Polis Sweden menemui seorang mangsa maut selepas lelaki bersenjatakan pedang menyerang sebuah sekolah menengah di Fagersta, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga mangsa cedera; dua parah, seorang cedera ringan.
  • Suspek, lelaki 18 tahun, menembak ke arah polis sebelum ditahan.
  • Suspek dipercayai bekas pelajar dan mempunyai sabitan atas kesalahan menyerang; membawa pedang dan memakai topi keledar.
  • Pelajar diarahkan berkurung lebih tiga jam manakala polis menyiasat motif dan kemungkinan pelaku lain.

Ketua Polis Fagersta, Tommy Alriksson berkata, mangsa ditemukan selepas polis memasuki bangunan Sekolah Menengah Brinell susulan serangan yang berlaku kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan.

Beliau berkata, ketika siasatan awal, terdapat tiga mangsa cedera dalam serangan itu, termasuk dua yang mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.

“Penilaian semasa kami buat masa ini menunjukkan terdapat tiga mangsa cedera dan seorang maut,” katanya pada sidang media.

Suspek, lelaki berusia 18 tahun, telah tembak polis sebelum ditahan.

Setakat ini, pihak polis tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa terdapat lebih daripada seorang pelaku dalam insiden tersebut.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serangan,” katanya.

Penyiar awam Sweden, SVT, melaporkan suspek dipercayai bekas pelajar sekolah berkenaan serta pernah mempunyai sabitan atas kesalahan menyerang.

Suspek dilaporkan membawa pedang dan memakai topi keledar ketika melakukan serangan.

Terdahulu, polis menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar pukul 2 petang waktu tempatan sebelum mengerahkan anggota ke lokasi.

Pelajar di sekolah berkenaan dan beberapa sekolah berhampiran turut diarahkan berada dalam keadaan berkurung selama lebih tiga jam ketika operasi polis dijalankan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.